Lift Off adalah sesi refleksi diri saya mengenai setahun yang berlalu dan perancangan saya untuk setahun yang akan datang. Perkongsian secara umum ini bukan hanya untuk berkongsi dengan orang ramai, tetapi pada masa yang sama membantu saya sendiri untuk lebih jelas dengan cita-cita, impian, nilai dan halatuju hidup saya. Ini adalah siri ketiga. Ini link untuk siri Pertama & Kedua.

Tahun 2009 akan berakhir. Saya lega tahun ini akan berakhir walaupun sedikit sayu. Saya lega kerana saya memasuki 2009 dengan penuh kecelaruan dan ketidak pastian (dari beberapa segi), tetapi saya tampak berjaya melaluinya dengan cemerlang dan bergaya. Saya sayu untuk meninggalkannya, tahun di mana saya cukup banyak belajar, tahun yang menyaksikan saya melepasi walau jangkaan paling optimis saya sendiri (exceed expectation), tetapi pada masa yang sama saya teruja dengan potensi yang menanti saya pada tahun depan.

Saya bersyukur diberi kekuatan & kebijaksanaan untuk melalui 2009 dan saya berharap Allah memberi saya lebih kekuatan, kebijaksanaan dan rezeki yang lebih murah untuk 2010.

Hari ini saya akan mengulas mengenai nilai.

Karier & Perniagaan

Tahun ini aspek K & P hidup saya berkembang pesat dengan cemerlang. Saya mengurangkan aktiviti yang saya tidak suka dan meperbanyak aktiviti yang saya suka. Saya menambah rakan kongsi baru, memulakan bisnes baru di samping meneruskan bisnes sedia ada.

Aktiviti K & P tahun ini juga cukup banyak mengajar saya perkara-perkara baru. Jika sebelum ini saya lebih mengkhusus kepada aktiviti perniagaan berasaskan internet, tetapi tahun ini menyaksikan saya lebih banyak terlibat dengan perniagaan konvensional. Terima kasih kepada aktiviti K & P ini, saya juga dapat mengembara ke tempat-tempat yang belum pernah saya pergi sebelum ini dan berjumpa dengan insan-insan menarik.

Yang lebih menarik, hampir ke semua aktiviti ini tidak dirancang di awal tahun. Semuanya bermula dengan hanya satu idea “gila”. Tetapi kemudiannya kami mempertimbangkannya dengan serius dan ia menampakkan hasil. 🙂

Untuk 2010;

1) Meneruskan aktiviti-aktiviti perniagaan yang berjalan secara autopilot tahun ini.

2) Menyiapkan perancangan dari tahun 2009 yang tidak dapat disiapkan tahun ini dan di bawa ke tahun hadapan.

3) Memulakan sebuah restoran (insyaallah)

4) Membuat jual beli & pelaburan hartanah yang pertama

5) Jika tahun ini saya berjaya mengumpul dana untuk kahwin dan menghantar salah seorang ibu bapa saya ke Mekah, tahun 2010 saya berazam supaya dana tersebut meningkat berkali-kali ganda. Bukan sahaja supaya kedua-duanya dapat ke Mekah tetapi juga supaya saya ada lebihan.

Itu sahaja ulasan saya untuk aktiviti K & P. Saya rasa agak anti-klimaks untuk seorang usahawan “hard-core” seperti saya. Saya sendiri menjangkakan saya akan menulis dengan lebih banyak dan spesifik.

Tetapi apabila difikir-fikirkan semula, patutlah. Tujuan utama saya untuk menyertai bidang ini adalah kerana ia minat saya. Saya teruja berinteraksi dengan manusia, bermain dengan nombor. Saya gembira keperluan material saya dipenuhi tetapi ia bukanlah sebab utama. Saya rasa saya sudah melepasi tahap tersebut. Tetapi jangan salah tanggap, I am still a shrewd entrepreneur at heart! 🙂

So long!

Sabri