Lift Off adalah siri muhasabah diri saya dan perancangan untuk tahun seterusnya. Ia mengandungi beberapa bahagian yang saya rasakan penting. Perkongsian secara umum ini bukan hanya untuk berkongsi dengan orang ramai, tetapi pada masa yang sama membantu saya sendiri untuk lebih jelas dengan cita-cita, impian, nilai dan halatuju hidup saya. Ini adalah siri kedua. (Siri Pertama di sini)

Blog

Saya adalah penyumbang utama kepada 3 blog. Blog pertama adalah blog ini, kedua adalah blog dalam satu niche yang menjadi passion saya dan ketiga, blog SS. Mari kita berbicara bermula dengan yang paling mudah. Bagi blog SS, saya sudah tidak berapa berminat untuk mengemaskininya. Saya rasa saya sudah tidak dapat “connect” dengan majoriti pembaca. Seperti yang saya tegaskan dalam Lift Off 1, saya menulis untuk kepuasan. Jika saya tidak mendapat kepuasan itu, saya tidak akan buat. Mungkin sekali sekala saya akan menulis di SS untuk melepaskan gian, tetapi saya tidak nampak ia melebihi 12 post buat sepanjang tahun hadapan.

Adakah saya rugi dengan mengabaikan sebuah blog yang sudah well established?

Ya dan tidak. Ya kerana ia sudah ramai pembaca. Mungkin dari segi kewangannya, ia bukan satu tindakan yang bijak. Namun, apabila diukur dari sudut kepuasan, saya rasa ia satu keputusan yang tepat. Lagipun di akhirnya saya tidak rugi apa-apa. Ini kerana saya masih menulis, cuma bukan di sana. Mungkin sebahagian pembacanya yang akan rugi, tetapi mungkin itu yang mereka perlukan (maybe they deserve that).

Blog kedua dalam bidang yang menjadi passion saya. Target saya adalah untuk menulis sekurang-kurangnya 52 post di sana. Jika saya tidak berkesempatan untuk menghasilkan satu post seminggu, saya akan cover di minggu seterusnya. Blog ini sedang dalam perjalanan untuk menjadi blog authoriti dalam niche tersebut setelah beberapa tahun tidak mempunyai halatuju spesifik.

Saya harap dengan fokus dan perhatian saya, ia akan dapat berkembang dengan lebih cepat.

Blog ketiga adalah blog ini. Buat masa sekarang, halatuju blog ini masih belum jelas. Acapkali saya memasukkan cerita saya diselang-selikan dengan sudut pandangan saya dalam pelbagai bidang. Maafkan saya atas kecelaruan tersebut. Saya perlu mengeluarkan semua isi di dalam dahulu sebelum dapat memilih yang mana satu akan menjadi keutamaan saya. Namun saya sudah dapat temanya, ia akan berkisar kepada being Healthy, Wealthy & Wise.

Sehingga setengah tahun yang akan datang saya akan berterusan menyelitkan kisah peribadi dan sudut pandangan saya untuk perkara-perkara yang saya rasakan penting. Ini adalah untuk memastikan pembaca dan bakal pembaca di masa akan datang mempunyai “background” mengenai kenapa saya berpendapat begitu, begini. Mereka dapat melihat bagaimana pengalaman hidup saya membentuk kepercayaan.

Setengah tahun yang berikutnya saya akan mula menulis mengenai “Playing Full Out in Life”  dengan menjadikan diri saya sebagai bahan eksperimennya (sebenarnya saya ingin katakan “contoh” atau “model”, tetapi terasa terlebih pula :p). Ada yang akan menganggap ia adalah motivasi, tetapi saya tidak bersetuju.

Motivasi adalah apabila kita cuba membuat seseorang yang tidak berminat itu, berminat. Kita juga mengadakan apa yang tiada. Kita cuba mengubah kelesuan kepada keterujaan.

Saya tidak berminat mengubah loser kepada average people. Ia bukan perjuangan saya. Jika seseorang itu ingin menjadi loser dalam hidupnya, Allah sendiri sudah berfirman, memang tidak ada orang lain yang boleh mengubah nasib diri mereka sendiri selain diri mereka sendiri.

Apa yang saya cuba ketengahkan di sini adalah konsep “Prestasi Tinggi” (High Performance)

High Performer adalah orang yang sudah ada motivasi. Mereka sudah tahu apa yang mereka mahu dan mereka sanggup bertindak untuk mencapai apa yang mereka mahu. Namun ada di antara mereka yang “stuck” atau tidak berkembang. Walaupun begitu mereka tidak putus asa dan terusan belajar untuk mencari teknik untuk breakthrough dalam hidup.

Orang seperti inilah saya ingin menjadikan mereka sebagai “peer” saya. Mereka inilah yang saya ingin berkongsi dan berkomunikasi. Apabila difikirkan semula, inilah antara sebab utama saya hilang passion untuk menulis di SS. Saya tidak mahu menjadi motivator.

Jadi 6 bulan terakhir 2010 saya bercadang untuk membanyakkan lagi teknik-teknik dan strategi-strategi untuk hidup berprestasi tinggi. Mungkin juga lebih video untuk menjadikan blog ini lebih interaktif.

Jadi itu dari aspek blog. Kesimpulannya lebih fokus kepada blog ini dan blog berkisar kepada pembangunan diri. Misi saya adalah untuk menjadi inspirasi kepada lebih ramai orang supaya mereka juga turut teruja dan mahu menjalani kehidupan berprestasi tinggi. Bangsa kita akan lebih berjaya dan dihormati jika majoriti dari kita hidup sebagai manusia berprestasi tinggi.