Saya minta maaf kerana lama tidak menulis, seminggu tersasar dari tarikh jangkaan saya. Minggu ini sebenarnya saya masih dalam mode menyesuaikan diri. Saya membuat sedikit perubahan kepada waktu tidur saya, jika sebelum ini saya tidur kira-kira 7-8 jam sehari, sekarang saya cuba menjadikannya cuma 6 jam. Nampak macam tidak signifikan, tetapi sebab masa bangun saya lebih awal dari biasa, jadi side-effect pening-pening tu terasa. Bila badan saya tidak berada dalam tahap kesihatan optimum, memang susah nak mencari feel untuk menulis.

Weekend ini masa saya mengganti balik hutang tidur. Jadi rasa better sedikit. Hopefully next week badan saya akan dapat menyesuaikan diri dengan jadual baru dan semuanya akan kembali normal.

Begin With the End in Mind

Ini adalah satu pesanan popular yang sering diulas sebagai salah satu rahsia kejayaan dalam kehidupan. Stephen Covey dalam bukunya menulis ia sebagai salah satu dari 7 Tabiat Orang Yang Berjaya. Betul, sebagai contoh jika kita hendak ke sesuatu tempat, kita perlu tahu di mana destinasi akhir kita supaya jika kita mahu ke Perlis, kita tidak berakhir di Johor! 🙂

Kena ada cita-cita, atau target dalam bahasa ringkasnya.

Sebenarnya, pedoman ini sangat universal dan saya yakin dengan kebenarannya untuk diapplikasikan dalam hidup dan bukan sebagai teori semata-mata. Kenapa?

Sebab secara tak langsung ia turut dituntut dalam Islam. Ia adalah salah satu dari rukun Iman. Salah satu dari keperluan jika kita mahu menjadi orang yang beriman. Tidak lain dan tidak bukan, beriman kepada Hari Akhirat.

Hari Akhirat adalah pengakhiran kita, dan semua tindak tanduk dan tugasan kita pada hari ini, adalah sebenarnya supaya kita mendapat manfaat yang paling besar di sana kelak.

Saya sebenarnya tidak bercadang untuk menulis mengenai topik Beriman kepada Hari Akhirat ini lagi, sebab telah menyentuh mengenainya dalam post berkenaan wasiat yang lepas, tetapi sebentar tadi bila saya berfikir sejenak mengenai diri, saya ternampak perkaitan di antara rukun iman ini dan teori motivasi Barat tersebut.

Bila Kita Berbuat Sesuatu, atau Bila Kita Tidak Pasti Apa Tindakan Terbaik Yang Perlu Diambil

Buat sesuatu dengan “end in mind”. Tapi jangan simplistic.

Maksud saya, jika kita mahu membina sebuah bangunan, kita perlu ada gambaran hasil akhir bagaimana rupa bentuk bangunan tersebut. Berapa tingkat? Bagaimana orang keluar masuk? Dan bagaimana keadaan sekelilingnya?

Dan pada masa yang sama, kita perlu fikir juga bagaimana bangunan itu akan membantu kita di akhirat sana kelak?

Hidup seorang mukmin adalah ibadah. Apa juga yang kita lakukan sebenarnya boleh mendapat ganjaran pahala jika kita buat dengan baik dan cemerlang kerana Allah (bukan dari sebutan mulut sahaja, tetapi perlu betul-betul terasa di hati).

Jika kita berjaya berbuat demikian, pasti kita akan berjaya.

Dalam mengaplikasikan “Begin With the End in Mind“, saya telah beberapa kali mengaplikasikannya dengan berjaya dalam hidup. Bahkan dalam kegagalan pun saya berjaya bangkit kembali dengan cepat bila saya set semula “journey” saya supaya selari dengan destinasi asal “end”.

Contoh, ketika kami membuka gerai di Miri buat pertama kalinya tetapi kontena mengandungi barang jualan masih belum dilepaskan kastam. Jika gerai tidak dibuka kami akan dikenakan penalti oleh pengurusan pasaraya (disamping sewa dan gaji perkara yang masih perlu dibayar, tidak termasuk kerugian tidak dapat menjual), saya stuck. Ada perasaan untuk give up sahaja untuk hari tersebut dan mulakan keesokan harinya sahaja.

Tetapi bila saya ingat balik yang tujuan asal kami adalah untuk berniaga, menjual bermula pada hari tersebut, saya rasa amat tidak berguna jika saya mengalah awal sedangkan hari tersebut belum pun tengah hari. Saya cakap kepada partner saya, biar pun sampai pukul 6-7 petang kita dengan gudang kastam, barang tu perlu keluar hari ini juga. Saya minta dia duduk dan buat bising di situ sampai barang kami keluar.

Kepada pekerja saya, saya memberitahu tak kisah barang sampai ataupun tidak, gerai kita mesti ready untuk menjual hari ini dan kita akan menjual hari ini. Saya tidak kisah apa yang akan dijual, tetapi kita mesti bersedia untuk menjual. Saya cakap dia setupkan gerai biarpun atas meja kosong.

Dalam pukul 3, barang jualan kami keluar dilepaskan kastam dan sebab pekerja di gerai telah sedia, kami boleh terus menjual. Dan kami masih berjaya mencatat rekod hari jualan terbaik setakat itu.

Bayangkan jika saya mengalah awal. Atau jika saya mengarahkan semua pekerja membuat bising di gudang kastam tanpa persediaan di lakukan di gerai.

Dalam satu contoh hypothetical yang lain yang mungkin anda boleh relate, kita bekerja untuk mendapat duit supaya hidup kita senang. Betul tak? Namun berguna tak duit tersebut, jika kita dapat banyak duit tetapi kita tidak dapat menggunakannya untuk menyenangkan kita. Sebaliknya kita bertambah sibuk mencari lebih banyak duit lagi.

Apa gunanya kerja-kerja keras dari awal itu jika begitu?

Jadi pastikan apa juga yang kita lakukan, kita mulakan dengan mengetahui pengakhirannya dalam apa juga yang kita lakukan, pelajaran, perhubungan, perniagaan mahupun kareer. Ia akan sangat membantu.

Dan sebagai orang Islam, pastikan kita tidak lupa kepada “pengakhiran” yang sebenarnya itu juga.

Mungkin di Salah Ertikan

Orang yang mempunyai target atau yang melakukan sesuatu dengan “pengakhiran” dalam kepalanya ada kemungkinan di salah anggap. Mungkin orang menganggap mereka skema, ambitious atau mungkin sedikit pelik sebab berbeza dari kebiasaan manusia yang go with the flow.

Tetapi kalau kita tahu kenapa kita buat sesuatu, kita tahu apa target kita dan kita serahkan Allah sebagai pemandu kita, saya percaya kita akan lebih cepat dan sampai dengan tepat ke destinasi dengan lebih mudah sedikit.

Jadi, jangan takut untuk Begin With the End in Mind. Peluang untuk berjaya jauh lebih tinggi! 🙂

Epilog

Apa perbezaan yang paling ketara yang saya rasa sebelum, ketika dan selepas balik Umrah ni?

Balik umrah bukanlah balik Haji. Saya rasa tidak ada perubahan ketara atau mendadak sangat. Cuma, beberapa benda yang saya paling bersyukur adalah perasaan secara peribadi kita merasakan yang Allah berkomunikasi dan sangat dekat dengan kita. Bila doa kita didengariNya dan bila kita diingatkan olehNya. Juga perasaan apa yang dimaksudkan dengan sebenar-benarnya bertawakal kepadaNya.

Saya berharap perasaan sentiasa dipimpin dan dipandu olehNya itu tidak akan hilang. Ia memudahkan saya untuk betul-betul merasakan maksud tawakal kepada Allah itu.

 

Sabri