Hijrah-Travelog Umrah adalah sebuah catatan “hijrah” peribadi saya. Ini adalah artikel ketiga, anda boleh membaca coretan pertama Hijrah – Travelog Umrah, Permulaan Sebuah Perjalanan di sini dan coretan kedua, Kehilangan di sini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Beriman Kepada Hari Akhirat

Kita telah belajar Rukun Islam dan Rukun Iman sejak darjah satu lagi. Alhamdulillah.

Biasanya ini bermaksud, sejauh mana pun kita pergi, kita tetap ada asas yang ditanam kita masih kecil. Waktu kita sudah besar dan panjang langkah ini, teringat juga pesan ustaz-ustazah kita dulu. Ketika saya membaca catatan-catatan perjalanan orang lain sebagai persediaan saya ke sana, tiba-tiba hati saya tersentuh. Atau terbuka.

Kemudian saya teringat secara kasarnya pelajaran dari kelas Agama saya ketika di sekolah rendah dulu.

Apa maksud Beriman dengan Hari Akhirat?

Dan sejauh mana kita sebenarnya betul-betul beriman dengan Hari Akhirat?

Bila saya bertanya diri sendiri soalan tersebut, dan kemudian bila saya bandingkan dengan apa yang saya tahu dan saya amalkan, saya rasa takut sangat dan saya tersedar betapa jauhnya manusia boleh pergi. Dalam benda-benda mudah sahaja pun, bukan dari segi amalan ataupun dosa-dosa yang kita buat, tetapi dari cari hidup dan “assumption” kita tentang hidup.

Bersediakah Kita Untuk Pergi Selamanya Esok?

Dalam proses untuk pergi ke Tanah Suci untuk Haji atau Umrah, jemaah dinasihatkan untuk bersedia seolah-olah mereka pergi tidak akan kembali. Tinggalkan hal-hal dunia untuk diuruskan oleh yang ditinggalkan, dan fokus kepada persediaan kita untuk bertemu Yang Maha Pencipta.

Saya pun cuba untuk menurut pesanan tersebut.

Ya Allah, begitu sukar dan baru saya tersedar.

Hutang

Dulu, ketika kecil ustazah saya pernah memberitahu yang kalau ada hutang dengan orang, roh kita akan tergantung kerana urusan dunianya di kira tidak selesai. Bahkan ada disebutkan dalam hadis Nabi, yang mati syahid pun akan tertahan dari masuk syurga tanpa hisab kerana hutang. Wallahualam.

Bila ustazah cakap macam tu, kami semua punyalah takut. Nak pinjam duit kawan sepuluh sen pun takut. Takut terlupa, takut mati tak sempat bayar. Nanti di akhirat, takut kena bayar dengan harga yang lebih mahal akibat hutang tersebut.

Begitu sucinya waktu kecil dulu. Minda belum terpengaruh dengan benda bukan-bukan lagi.

Pahala Berterusan

“Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga punca : sedekah yang berkekalan,  Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang  dan  anak yang soleh yang mendoakannya. “

Saya insaf juga sebab biasa diingatkan yang setelah kita pergi, memang tidak ada cara lagi untuk bertambah amal kebaikan kita kecuali oleh tiga perkara seperti yang di atas. Bila saya congak-congak hidup saya ni, memang terasa daifnya. Anak yang soleh tu memang dah tak ada buat masa ini. Jadi saya kena melipatgandakan lah yang dua lagi tu (salah satu sebab wujudnya siri Hijrah|Travelog Umrah ini).

Bila dah rasa begitu, saya mahu sangat-sangat buat kebajikan yang terakhir dengan sedikit harta-harta yang saya ada. Saya mahu pastikan semua hutang-hutang saya (jika ada) terbayar dan baki harta-harta saya digunakan ataupun disedekahkan oleh waris-waris saya supaya saya mendapat manfaat berterusan walaupun telah tiada.

Ini Sebenarnya Yang Saya Cuba Nak Sampaikan

Kita kata kita beriman. Tetapi sejauh mana kita bersedia untuk Hari Akhirat? Sejauh mana kita bersedia jika kita meninggal dunia (mati) esok?

Ke, dalam hati kita ada sebenarnya tertanam rasa kita tidak akan mati lagi esok sebab kita masih muda?

Ke, kita hidup di dunia ini, saat ini dengan cara orang yang masih ada banyak masa lagi untuk hidup dan bertaubat?

Gaya mana sebenarnya kita hidup hari ini?

Sama-sama kita fikirkan dan hisab diri kita sekarang.

Kalau kita mati esok, adakah waris-waris kita tahu mengenai hutang-hutang kita semuanya? Adakah harta kita akan dimanfaatkan dari hari pertama kita mati atau tertahan kerana proses birokrasi (tukar nama, etc)?

Bila saya baca-baca mengenai hal ini, saya tiba-tiba rasa perlu untuk membuat wasiat bertulis sebagai persediaan. Supaya saya boleh berkata di akhirat nanti, memang saya telah mencuba sebaik-baiknya sehingga ke akhir hayat saya untuk memastikan hak orang saya telah selesaikan dan saya telah manfaatkan sepenuhnya harta dan amanah yang telah diberikan kepada saya.

Ada orang berkata, dia tiada hutang, harta pun kurang. Apalah gunanya berwasiat. Lagipun orang Islam kan ada Faraid.

Pada saya jika kita ada pemikiran seperti itu, kita sebenarnya kena tengok betul-betul semula kepercayaan kita kepada Hari Pembalasan. Setiap satu kebajikan akan menerima ganjaran dan setiap satu dosa akan menerima balasan walaupun sebesar zarah.

Pertama, urusan agama bukan macam urusan dunia. “Hutang” yang sebenar bukan semestinya “hutang” atas nama kita sahaja. Adakah kita mempunyai “hutang” atas nama orang lain?

Jika kita mati, adakah hutang tersebut terhapus 100%? Atau sekadar 50%? Atau tidak terhapus terus?

Kedua, harta yang sedikit itu. Sudahlah harta sedikit, tiada manfaat pula yang kita dapat setelah kita mati. Alangkah kesiannya. Jika harta sedikitlah kita perlu ghairah berwasiat supaya dari harta yang sedikit itu kita akan mendapat saham akhirat yang sebesar mungkin sepatutnya.

Percayalah kepada Hari Pembalasan dan Bertakwalah Kepada Allah dan Takutlah Kepada JanjiNya

Harta saya tidak banyak. Hutang saya pun setakat hutang kad kredit yang memang saya bayar tiap-tiap bulan penuh. Saya cuma takut apabila saya mati nanti, hutang kad kredit untuk bulan kematian saya itu tidak dilunaskan oleh waris-waris saya kerana mereka tidak tahu. Saya takut dan tidak mahu roh saya terseksa walaupun satu hari. Saya mahu nikmat yang dijanjikan Allah iaitu waktu di kubur adalah waktu penantian yang sementara dan aman untuk menunggu Akhirat.

Mungkin budaya kita tidak membincangkan soal harta dan soal-soal seperti ini secara terbuka. Seolah-olah macam tamak dan gelojoh sangat. Tetapi saya rasa ini perlu diubah. Tak bercakap soal harta dan kematian ini sebenarnya kerana kita tidak betul-betul yakin dan beriman dengan Hari Akhirat.

Dalam wasiat tersebut, saya senaraikan juga harta-harta yang tidak sepertinya itu (seperti buku-buku saya~bukan harta yang besar sangat pun) dan pesanan-pesanan dengan harapan saya mendapat manfaat dan amal kebajikan yang berterusan walaupun telah tiada.

Menyentuh mengenai sistem Faraid, ya betul. Harta peninggalan orang Islam akhirnya akan dibahagikan melalui sistem Faraid. Tetapi keywordnya adalah “akhirnya”. Biasanya kerana proses birokrasi yang tidak pernah habis, ia akan mengambil masa bertahun-tahun. Ini secara tidak langsung akan menyusahkan waris kita. Dan pembahagiannya rumit juga.

Bayangkan jika anda meninggal dunia dan meninggalkan harta sebuah rumah bernilai RM 300,000 dan wang simpanan berjumlah RM 50,000.  Memang boleh dibahagikan harta-harta tersebut mengikut Faraid.

Tetapi siapa yang akan dapat rumah, dan siapa yang akan dapat wang?

Orang yang mendapat rumah tersebut sudah semestinya akan dapat lebih dari bahagiannya berbanding dengan orang yang dapat wang. Malah, mungkin terpaksa berkongsi pula dengan orang lain. Bagaimana jika ada waris mahu jual, tetapi ada waris lain yang berkongsi mahu simpan?

Jadi, dapatkah anda 100% manfaat dari rumah tersebut?

Begitu juga jika ada akaun bank dengan baki minima yang anda pernah buka tetapi untuk beberapa sebab anda jarang menggunakannya dan tidak diketahui kewujudan oleh orang lain. Tanpa wasiat untuk memberitahu waris mengenai kewujudan akaun tersebut, mereka tidak akan tahu.

Bila kita dah tiada, RM 10 pun jika ada kita nak dermakan. Kita nak pahalanya. Kita sangat-sangat perlukan amal kebajikan tersebut. Jadi dengan wasiat kita dapat manfaatkan setiap sen yang kita tinggalkan.

Proses menulis wasiat ini bukanlah sekadar proses membahagikan harta.

Ia mengingatkan kita mengenai mati. Ia menjadikan mati itu real.

Ia berikan kita peluang untuk merancang bekalan dan menghisab diri sendiri sebelum dihisab di hari Akhirat.

Kita akan rasa lebih tenang dan lebih bersedia.

Jadi tulis wasiat walaupun harta kita sedikit dan hutang kita tiada.

Hal ini ditekankan dalam satu hadis Nabi Muhamad S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud

“Tidak boleh tidur seorang insan islam melainkan dia menulis wasiat disisinya.”

Semoga urusan kita dipermudahkan olehNya dunia dan akhirat.

(bersambung)