Kenapa saya tulis apa yang saya tulis?

Kenapa apa yang saya tulis berbeza? Unconventional sedikit jika dibandingkan dengan nasihat-nasihat yang selalu orang berikan?

Kenapa saya suka tulis mengenai perkara yang “soft-soft”? Bukankah banyak perkara lain yang lebih penting yang boleh diulas?

Sebelum saya mula memberi penjelasan, biarkan saya bercerita dahulu. Tadi, saya blog-surfing dan melawat kembali beberapa blog yang seperti blog saya ini. Catatan hidup bersulam inspirasi. Salah seorang dari blogger tersebut telah meninggal dunia.

Saya pun terfikir. Apakah legasi aku setelah aku tiada di dunia ini. Jika disebut Sabri, apakah yang orang akan ingat?

Saya bukanlah seorang pemimpin besar yang mahu diingati dengan sumbangannya kepada negara ataupun dunia yang tiada tolok bandingnya (walaupun niat ke arah itu sentiasa ada, Insya-Allah). Sumbangan saya kecil sahaja.

Cukuplah orang yang pernah mengenali saya tahu saya sentiasa menggalakkan mereka untuk tidak putus asa dan mereka berasa lebih positif selepas bertemu saya. Bukan kerana jangan putus asa sebab mahu memotivasikan mereka, tetapi kerana mereka memang hebat. Amat sayang dan rugi dengan kebolehan mereka jika mereka cepat putus asa. I genuinely believe that inside, you have what it takes to get what you dream for.

Kenapa pendapat saya berbeza? Kadang-kadang cara saya ulas berbeza.

Sebab saya menulis untuk orang yang macam saya. Tidak ramai orang yang macam saya. Tetapi saya tahu, mereka tidak jemu-jemu mencari ilmu untuk menjadi manusia yang lebih baik. Orang macam saya sukar untuk menerima nasihat cliche yang kadangkala kelihatan tidak rasional. Sebagai contoh, “Time heals all wound”.

Saya tidak mahu berdebat panjang soal ini. Memang ada sesetengah cliche yang betul.

Tetapi, jika kita hendak bercakap dengan orang yang sedang kecewa, dengan orang yang sedang bersedih, dengan orang yang memerlukan nasihat spesifik, mereka tidak boleh terima cliche ini. Mereka mahukan satu kepastian, bukan wishful thinking. Saya menulis untuk mereka.

Bukan untuk mereka yang berpuas hati dengan cliche. Untuk orang seperti ini, ada banyak lagi website di luar sana untuk mereka layari.

Biarlah dari seribu pembaca, hanya seorang yang seperti saya. Itu sudah berbaloi bagi saya.

Tetapi itu tidak bermaksud saya betul.

Saya menulis dari pengalaman. Saya tidak menulis kajian yang tidak diuji dengan pengalaman saya sendiri. I am both book-smart and street smart.

Kadang-kadang saya menulis dari sudut pandangan saya “sedang” mengalami sesuatu. Kadang-kadang saya menulis dari sudut pandangan “selepas” saya mengalami sesuatu (hindsight). Apa yang saya tulis sekadar dari pengalaman, pemerhatian dan pembacaan saya. Ia mungkin jadi benar, ia mungkin jadi salah. Ia cuma pengalaman saya. Tetapi saya percaya pembaca saya cukup bijak untuk membuat keputusan yang terbaik untuk diri mereka sendiri.

Semoga saya dapat tinggalkan legasi yang bermanfaat untuk dikongsi.

Sabri