Minggu lepas ketika pulang ke Kuantan, sebelum tidur saya sempat berbual dengan adik saya. Beliau bercerita mengenai apa yang beliau doa dan minta. Beliau bertanya saya juga, apa yang saya doakan.

Saya pun memberitahu beliau, dari pengalaman saya, saya tak minta banyak. Saya minta secara konsisten cuma tiga perkara sahaja setiap kali selepas solat. Kecuali untuk solat Dhuha dan solat Istikharah yang mempunyai set doa yang lain. Tiga perkara ini pula walaupun konsisten tetapi mungkin berubah setiap beberapa tahun.

Saya juga memberitahu beliau, salah satu daripadanya adalah doa supaya dipermudahkan semua urusan dunia dan akhirat.

Adik saya kemudian berkata kepada saya, doa itu tidak cukup. Tidak cukup spesifik.

Saya pun memberitahu beliau, “Eh, dah spesifiklah tu. Dunia dan akhirat”.

Saya menjelaskan lagi, semenjak saya mengamalkan doa tersebut sebagai rutin, saya dapati terlalu banyak urusan dunia saya menjadi mudah. Nikmatnya terlalu banyak yang saya rasai. Saya juga makin mudah dan ringan tubuh badan untuk melabur bagi urusan akhirat berbanding ketika sebelum mengamalkan doa supaya dipermudah urusan tersebut.

Saya juga dapati doa tersebut memberi saya tahap yang optimum, keyakinan kepada Allah yang doa saya itu akan ditunaikan.

Adik saya menambah (selain berbincang mengenai hal ini, kami juga ada berbincang mengenai hal lain, seperti isu di sini). Mungkin sebab doa saya sebegitulah, urusan saya yang besar-besar selesai dan saya dapat rasakan yang ia dipermudahkan, namun pada masa yang sama ada perkara-perkara kecil yang membuatkan saya kurang tenteram.

Sangkaan saya doa saya itu “cover” semua sekali, sedangkan ketika berdoa saya terlupa untuk meminta perkara yang kecil-kecil juga. Sebab itulah ketika semua perkara besar-besar dipermudahkan, tetapi saya di distract kan oleh perkara kecil-kecil yang sepatutnya tidak menjadi isu bagi orang lain.

Apa yang beliau katakan itu ada benarnya. Memang betul kata beliau, kita tidak perlu pun sebenarnya meminta secara spesifik setiap item yang kita mahu. Tuhan itu Maha Mengetahui. Dia tahu apa yang ada di dalam hati kita. Namun untuk doa kita makbul dengan segera, kita perlu merayu bersungguh-sungguh kepadaNya. Dan kita kena yakin yang dia mendengar dan akan memakbulkan doa kita. Bila kita ter miss perkara kecil-kecil ini, seolah-olah kita ambil mudah. Don’t take Him for granted.

Hmm, ketika berfikir mengenai apa yang beliau katakan itu saya tertidur.

Terlupa pula nak tanya, habis tu apa solusi yang paling elegan supaya perkara yang besar dan kecil turut dipermudahkan? Ketika sudah balik ke Kuala Lumpur ini dan menulis post ini baru teringat.

 

Sabri