Dunia korporat hari ini sedang sibuk memperkatakan mengenai kegawatan yang dijangkakan bakal tiba pada tahun 2015-2016 nanti. Seboleh-bolehnya, saya tidak mahu ramalan itu menjadi kenyataan. Tetapi berdasarkan indikator dan petunjuk ekonomi sekarang, masa depan nampak kelam.

Saham-saham di Bursa Malaysia telah mengalami penurunan mendadak sejak beberapa bulan lepas. Saham-saham syarikat yang dianggap kukuh selama ini turut terkesan. Harga minyak dunia pula, turun sehingga sekitar US$65 per barrel. Ia situasi yang mencemaskan. Ditambah pula keengganan Arab Saudi dan Opec untuk mengurangkan pengeluaran minyak, harga minyak dijangka akan terus menurun akibat persaingan harga di antara negara-negara Opec dan US.

Kesan Harga Minyak Turun di Malaysia

Di akhbar kita diberitahu yang kerajaan menjangkakan kesan implementasi GST nanti akan dineutralkan oleh penurunan harga minyak. Maksud kerajaan, ekonomi dijangka stabil. Perkara buruk, pelaksaan GST akan diimbangi dengan perkara baik, penurunan harga minyak.

Tetapi, baikkah penurunan harga minyak untuk rakyat Malaysia?

Itu yang saya kurang faham. Sebab dari pemahaman saya, tidak.

Penurunan harga minyak akan membawa kebaikan kepada pengguna di negara yang minyaknya tiada subsidi, dan telah mengikut harga pasaran sejak sekian lama. Bagi pengguna di negara-negara seperti ini (sebagai contoh US), memang benar mereka akan menikmati faedah. Perbelanjaan dalam negara boleh dijangkakan akan meningkat kerana rakyat di negara tersebut akan mempunyai lebihan pendapatan untuk dibelanjakan disebabkan harga minyaknya berkurang.

Tetapi di Malaysia, subsidi minyak baru sahaja dihapuskan. Itupun ketika harga minyak sudah sedia murah. Biasanya, rakyat Malaysia membayar harga yang lebih rendah untuk minyak sebelum ini. Selepas harga minyak RON 95 diletakkan mengikut harga pasaran, harga minyak di Malaysia berkurang sedikit, sebanyak 4 sen.

Pokoknya, harga minyak setahun lepas lebih murah dari hari ini.

Jadi penurunan harga minyak dunia tidak dirasai sangat rakyat Malaysia.

Sedangkan, impak GST memang sudah menanti.

recession-malaysia

Dan penurunan harga minyak juga memberi impak kepada kerajaan. Dijangkakan pendapatan kerajaan dari sumber minyak melalui dividen, royalti dan cukai akan berkurang sebanyak beberapa billion ringgit.

Pengurangan pendapatan ini akan menjejaskan perbelanjaan kerajaan. Apabila perbelanjaan kerajaan terjejas, industri-industri yang bergantung kepada perbelanjaan atau stimulus kerajaan juga akan menerima kesan (contoh: industri pembinaan). Apabila industri-industri ini menerima kesan, pekerja-pekerja yang bekerja dalam industri-industri ini juga akan turut menerima kesan.

Bila pekerja-pekerja ini menerima kesan, makcik yang jual nasi lemak kepada pekerja-pekerja ini juga akan menerima kesan. Begitu juga kepada penjual ayam, sayur, dan lain-lain pembekal kepada makcik yang jual nasi lemak tersebut (pendek kata secara umumnya, rakyat Malaysia yang lain).

Berdasarkan senario ini, saya lihat rakyat Malaysia bakal menghadapi “double trouble” dan bukannya neutral.