Hobi saya adalah membaca.

Masa yang paling santai dalam hidup saya yang saya ada, adalah ketika saya berada di Tingkatan 1 – Tingkatan 3. Tolak sikit bulan-bulan awal Tingkatan 1, di mana ketika itu saya masih cuba recover dari kekecewaan UPSR, baki tempoh masa tersebut adalah waktu yang saya ada agak banyak masa.

Jadi masa yang terluang itu saya habiskan dengan membaca. Spesifiknya, membaca dengan meminjam buku dari perpustakaan SABS. Saya masih ingat ketika itu, sehari saya akan meminjam dua buah buku yang dapat saya habiskan pada hari yang sama juga. Esoknya, saya akan pinjam buku lain pula. Lagi best buku tersebut, lagi mudah untuk dihabiskan.

Di perpustakaan SABS ini, buku bahasa Melayunya sedikit sahaja. Cuma ada tiga rak. Saiz tiga rak ini adalah kira-kira 1.8m tinggi dan lebar mungkin dalam dua depa lebih sikit (lebar papan hitam kelas).

Pilihan utama saya sudah tentulah novel-novel Alaf 21 tetapi perpustakaan sekolah mana ada novel-novel macam tu. Yang ada cuma novel-novel serius. Waktu itu saya selalu mengeluh kenapalah buku-buku dekat library ni tak best. Tak boleh ke beli buku yang ada kat kedai buku tu? (ye la, mana ada buku sasterawan negara dekat kedai buku mainstream ketika itu) Jadi nak tak nak, saya hadap je lah apa yang ada. Bermulalah exposure saya dengan buku-buku sasterawan Malaysia seperti A Samad Said, Usman Awang, Keris Mas dan lain-lain. Novel Di Hadapan Pulau, Rimba Harapan (Jungle of Hope) yang menjadi teks KOMSAS Tingkatan Lima telah saya khatamkan ketika di menengah rendah lagi. Termasuklah novel Salina, novel evergreen tulisan A Samad Said.

Dalam banyak-banyak sasterawan ini, yang saya paling minat adalah Usman Awang. Usman Awang pernah bertugas sebagai polis, jadi kadang-kadang terselit watak polis dalam novel-novel dan cerpennya. Sebagai remaja lelaki, saya suka cerita polis dan askar ni, jadi sebab tu saya rasa novel beliau lebih cool.

Selepas Usman Awang, saya prefer A Samad Said sebab susunan bahasanya cantik. Lagi pula ada beberapa novelnya kalau tak salah saya latar masanya ketika tamat Perang Dunia Ke-2, ada sikit-sikit baur perang lagi. Saya rasa cool lah.

Bila pinjam dua buku sehari, dalam masa beberapa bulan sahaja dengan mudah almari tersebut dapat dihabiskan. Bila buku Bahasa Melayu dah habis, nak tak nak saya terpaksa start pinjam buku Bahasa Inggeris.

Saya masih ingat novel Inggeris pertama yang saya habis baca, Kidnapped oleh Robert Louis Stevenson. Sebenarnya novel tu saya dah pernah pinjam waktu sekolah rendah darjah 4 (sebab cikgu suruh pinjam satu buku BM dan satu buku BI). Tetapi saya tak habiskannya.

Waktu sekolah menengah baru dapat habiskan. Ye la, dulu English saya bukan bagus sangat. Mungkin in a way ada hikmahnya, sebab tu di sekolah menengah English saya jadi significantly lebih baik kerana saya paksa juga diri untuk habiskan baca dan faham.

Ketika inilah saya mula diperkenalkan kepada Mark Twain dengan kisah Tom Sawyer dan Huckleberry Finn, Sweet Valley High. Mula-mula merangkak, tapi lepas sebulan dua baca buku BI, saya dah dapat momentum. Kalau tak salah saya, di SABS lah saya jatuh cinta dengan John Grisham.

Alhamdulillah sampai sekarang minat membaca tu kekal.

Saya harap kalau dah tua nanti, kalau masuk hospital ke apa ke, selain pastikan bawa baju dan pakaian, mesti kena ada buku dan laptop.