Life; The Next Chapter

June 5, 2021

Kayangan 0502: Garasi TV

Filed under: Adventures — Sabri @ 2:48 pm

Alhamdulillah, pagi yang hampir cemerlang.

Saya suka menonton YouTube, sebab stylenya “on demand”, tiada iklan (saya subscriber YouTube Premium), menjimatkan masa dan sangat informatif.

Antara channel kegemaran saya adalah “Garasi TV”. Channel ini menawarkan “opitorial” (opinion editorial) yang berkualiti dan menjentik minda dengan lenggok bahasa yang terus menikam jiwa.

Program stream ini adalah native “Facebook”, dan kemudiannya akan diupload di YouTube. Saya menontonnya di YouTube (sebab kelajuan video boleh dipercepatkan kepada 1.5-jimat masa).

Opitorial Garasi TV ada tiga tema utama, Isu Palestin. Isu Covid dan Isu Sastera/Budaya. Isu pertama dan kedua memang saya tak miss dan sentiasa mencari dari arkib video mereka, manakala untuk isu ketiga, kadang-kadang saya dengar juga untuk topik-topik evergreen. Sekadar untuk mencambahkan minda dan menambahkan kepelbagaian ilmu.

Diketuai oleh Tn Haji Zainal Ahmad, beliau merupakan bekas wartawan kanan di beberapa media massa utama, banyak memenangi anugerah, bekas penerbit Edisi Siasat (ini yang membuat perjalanan Garasi TV ni best). Dan beliau juga merupakan seorang yang bergelut dan berjaya menguasi anxiety beliau (beliau mempunyai masalah imun badan lemah sejak kecil). Jadi setelah menonton puluhan video beliau dan tetamu, kekaguman saya dengan karisma beliau semakin berevolusi kepada kekaguman saya dengan kemanusiaan beliau. Saya dapat menyaksikan ketidaksempurnaan beliau, kadang-kadang beremosi, kadang-kadang tegas, kadang-kadang ceria.

Banyak yang saya dapat belajar, bukan sahaja mengenai isu semasa, tetapi juga dari aspek pembawaan diri. Beliau macam “ayah yang cool” lah. (Cool lah untuk orang tua macam saya, tapi maybe tak cukup cool lah untuk generasi yang lebih muda).

Menu hari ini:

Breakfast:
Pulut hitam (chinese style), pau bbq, wantan ayam, dim sum

Saya berpuasa hari ini. Wantan ayam, pau dan dimsum tu akan saya makan ketika berbuka nanti. Harap masih ok.

Lunch:
Croissant with ham, potato salad, cherry tomato dan fruits.

Hari yang boleh order grab, lunch memang semacam. Setelah setengah jam berfikir sama ada nak order KFC atau ayam korea, saya buat keputusan untuk order ayam goreng korea. Ada 14 hari, lebih kurang 6 kali hari Grab. Jadi kita test dulu, order makanan yang simple-simple untuk test pukul berapa sampai bilik. Kalau order makanan panas, ada dua risiko. Risiko pertama, dirampas JPAM dan tidak dihantar ke bilik (fastfood sahaja dibenarkan), tetapi selalunya mereka akan bagi. Risiko kedua adalah makanan tu akan jadi sejuk sebab dihantar lewat. Sebelum-sebelum ini delivery ke hotel pada jam 3-5, sebelum akan dihantar ke bilik pada jam 6 ke atas. Cuma dalam instruction kali ini mengatakan delivery ke hotel jam 12-3, manakala delivery ke bilik pada jam 3 ke atas. Sebab untuk memaksimakan “freshness” of meal tu, kami biasanya akan order dekat hujung-hujung tu. Tapi takpe, kita tengok macam mana. Dah faham rythm nanti, baru boleh order tomyam ke tosai ke pulak.. hehe.

Dinner:
Nasi minyak. ayam masak merah, sup cendawan air dan kuih nyonya.

June 4, 2021

Kayangan 0501: Kali ke Lima

Filed under: Adventures — Sabri @ 7:24 pm

Proses kuarantin selepas tiba dari luar negara bukanlah satu prosedur baru. Proses ini telah dikuatkuasakan lebih dari setahun yang lalu. Dan untuk saya sendiri, ini bukanlah kali pertama. Ia adalah kali kelima!

Biasanya orang mencatat pengalaman kali pertama bukan kelima, namun untuk saya, saya bercadang untuk mencatat secara harian pengalaman saya untuk kali kelima ini.

Kenapa?

Pertama, kuarantin empat belas hari ini bukan perkara enteng dan mudah secara mentalnya. Kalau mudah, tak adalah ada menteri yang bersusah payah bersedia untuk dikecam untuk mengelak dikuarantin. Jadi ia sesuatu yang menarik untuk direkodkan dan di baca semula kelak apabila dunia sudah kembali normal.

Kedua, setelah melalui proses ini buat kesekian kalinya (kali ke lima), saya kini sudah memasuki fasa “matang” dan sudah ada masa khusus untuk “deeper thoughts” untuk berfikir dan lebih berguna untuk direkodkan kerana rutin kuarantin itu lebih “settled”.

Ketika tempoh kuarantin awal, penerimaan mental dan fizikal tu masih di peringkat “growing up” dan mengenal diri bagaimana menerima proses ini. Hendak buat macam-macam, tak hendak macam-macam, rutin kuarantin masih kelam kabut dan sebagainya.

Harapan saya dengan rutin yang lebih settle, “noise” akan berkurang dan catatan yang ada tu akan lebih murni.

Ketiga, kuarantin saya yang pertama dan kedua adalah untuk tempoh 14 hari. Lama, sangat lama. Selepas itu polisi negara bertukar, kuarantin ketiga dan keempat adalah untuk tempoh hanya 7 hari. 7 hari ni sekejap. Pejam celik, pejam celik, sedar-sedar dah nak balik.

Namun dengan kenaikan kes Covid secara mendadak dan untuk mengelakkan penularan varian Covid yang merbahaya dari luar negara, tempoh kuarantin untuk pengembara dari luar dipanjangkan semula.

Pertukaran polisi ini of course ada pros & cons nya. Jika ditanya kepada frequent business traveller seperti saya dan rakan-rakan, mesti kami kritikal kepada polisi ini. Namun, saya memahami dan dapat menerimanya. Jika duduk berbulan di dalam kabin di tengah padang pasir kontang di negeri orang boleh, apalah sangat 2 minggu itu. Ada banyak lagi masalah dekat dunia ni. haha..

Namun, the struggle is real. Jentikan kepada mental itu bukan kecil. Sebab nak adjust dari penantian sekejap (7 hari) kepada penantian yang lama (14 hari) tu bukan mudahlah, saya membuat keputusan untuk memulakan catatan harian ini.

Homecoming

Kami mendarat di KLIA sekitar jam 8 pagi. Saya dapat masuk bilik hotel, sekitar jam 12 tengahhari. Secara keseluruhannya, semua pengembara yang tiba ke Malaysia boleh expect secara averagenya, tempoh masa seperti ini.

Ada dikalangan kami yang kritikal dengan proses ketibaan ini. Mekanisma ketibaan itu walaupun sudah lebih setahun proses ini berjalan, masih mendapat markah yang tidak tinggi. Ada proses yang sudah sedikit baik, ada proses yang makin teruk. Tidak ada improvement ketara. Saya setuju memang ada ruang untuk diperbaiki dari aspek ketibaan.

Cuma, bagi saya memandangkan journey ini sudah well planned dari pihak kami (benda yang dalam kawalan), kecacatan di penghujung (benda yang diluar kawalan), tidak lah serius sangat.

5 jam di origin airport (trip ke 4 kami spend sekitar 8 jam!), 7 jam di Doha airport dan 4 jam di KLIA sebelum sampai ke hotel (tidak termasuk jam perjalanan di dalam kenderaan dari kem dan dalam kapal terbang), adalah optimum. Tempoh masa jam ni jangan difikirkan, sebab bunyinya memang panjang dan lama. Sebab itu saya kata, 4 jam dihujung tu kurang signifikan kepada the whole process. 4 jam di KLIA memang jauh lebih baik dari tambahan 4 jam di origin airport. haha… Fokus untuk melaluinya dan enjoy.

Kriteria saya mudah sahaja.

Jika dapat mandi di airport ketika transit (dengan fluffy towel), dapat shopping sikit di airport dan dapat tidur baring di atas kapal terbang (tak semestinya kena business class, sebab economy class kosong pun ok!), perjalanan tu dah kira excellent!

Dan menurut ketiga-tiga kriteria ini, perjalanan balik saya, excellent!

Sampai dibilik hotel, saya baru tersedar yang ketika packing walaupun saya telah bungkus extension plug untuk diletakkan ke dalam beg, saya terlupa untuk memasukkannya ke dalam beg. Pengalaman mengajar saya yang ini adalah benda yang sangat penting untuk kuarantin.

Alamak.

Jika saya mahu adik saya hantarkan, saya hanya boleh menerimanya pada hari Ahad nanti (barangan dari keluarga cuma boleh diterima pada Ahad & Rabu), itupun perlu ditapis oleh JPAM dulu. Nak tunggu petang Ahad, memang jem lah 3 hari pertama tu. Btw, penghantaran makanan dari restoran terpilih dibenarkan dari jam 3 petang ke 5 petang melalui perkhidmatan penghantaran pula pada Isnin, Khamis & Sabtu sahaja. Penghantaran ke bilik hotel, pada jam 6-7 petang. (lain hotel, lain polisi). Nak mintak dari hotel, memang sukar, sebab guna extension ni bermaksud kita nak guna unauthorized electrical appliance biasanya.

Dengan berbekalkan some quick thinking, semangat tidak mudah mengalah dan pengalaman (sebab tu 5 kali tu penting sebab dah tahu dekat mana prosedur yang boleh dimanfaatkan), saya berjaya mendapatkan plug extension tersebut.

Selesai unpack, mandi, makan dan solat saya tidur kira-kira 5 jam. Alhamdulillah, bangun dalam good mood untuk menulis catatan ini.

Review makanan hari ini:

Nasi Ambeng
Rezeki kawan bagi. Pada saya nasi ambeng ni macam nasi kerabu untuk orang Jawa lah. Cara paling senang nak explain. Ini kali kedua saya makan. Mungkin sebab saya lapar, jadi boleh tahan lah. Ayamnya agak keras, jika tak salah saya ketika kali pertama makan hari tu pun macam tu jugak. Memang ayam nasi ambeng keras ke? Kerana kuantiti nasinya agak banyak, saya makan separuh saja.

Lunch : Nasi putih, kuah lemak, sambal belacan, kuih cucur badak dan udang butter dengan puding.
Memandangkan saya telah makan nasi ambeng untuk lunch, saya simpan dulu untuk dimakan time dinner.

Dinner: Nasi putih, ikan dori stim masam manis, satar ikan berbijan (chinese style), sawi masak air, sup putih telur dan buah-buahan.
Setelah 5 kali inbound kuarantin dan tidak kurang bilangan yang sama juga untuk outbound kuarantin, boleh saya katakan yang ini adalah tipikal menu kuarantin hotel. Di atas kertas dan namanya mungkin menyelerakan, tetapi execution hit and miss. Kena improvise.

Saya makan nasi setengah, satar ikan (the best thing about this menu), kuah masak lemak dan udang dari menu tengah hari tadi.

Alhamdulillah.

June 1, 2021

Iraq 0905: Vaksin

Filed under: Adventures,Iraq — Sabri @ 3:36 am

Alhamdulillah, saya telah mendapat slot untuk appointment vaksin pada June nanti.

Saya telah mendaftar di Mysejahtera agak lama, sejak pendaftaran dibuka. Memang lama untuk menanti giliran, dan saya tiada masalah untuk menunggu. Saya faham yang sebagai orang muda, memang giliran saya akan tiba lama lagi.

Namun, dengan kenaikan kes positif Covid secara mendadak di Malaysia sejak sebulan lepas, dan dengan pertambahan kenalan saya yang sudah menerima vaksin apabila vaksin Astra Zeneca ditawarkan secara sukarela baru-baru ini membuat saya gelisah. Tambahan pula saya boleh dikategorikan sebagai berisiko tinggi kerana berinteraksi dengan staf-staf local dan juga dalam perjalanan dalam kapal terbang merentas benua yang kerap. Anything can happen. Bahkan sudah beberapa rakan-rakan saya yang positif Covid ketika bertugas. Yalah, kalau Ketua Pengarah KKM pun dah mula pakai double mask ketika sidang media, kalau kita rakyat biasa masih degil dan tak takut lagi, tak tahu nak cakap apa lah.

Jadi baru-baru ini ketika pendaftaran sukarela untuk vaksin Astra Zeneca dibuka untuk kali kedua, saya turut mendaftarkan diri. Bagus juga ia diumumkan beberapa hari awal. Saya dan kawan-kawan berbincang mengenai pros & cons, tarikh yang sesuai (memandangkan jadual tugas kami yang tidak mudah untuk merancang beberapa bulan ke hadapan), dan tepat jam 12 tgh hari Malaysia (7 pagi di sini), kami terus berpusu-pusu mendaftar. (pendaftaran bermula lewat 15 minit, tetapi kami tetap menunggu dan berjaya menjadi antara orang pertama yang mendaftar).

Memang ada hiccup, bahkan ada 2-3 yang tidak berjaya menempah slot, tetapi majoriti kami berjaya. Sebab dari malam tersebut kami dah ready. Save address, set tarikh, tarikh alternatif dan sebagainya.

Cuma tempoh penantian sebelum mendapat appointment tu memang menyakitkan hati dan merunsingkan jiwa. Mengikut statement di laman web, setelah berjaya kami akan diberitahu mengenai temujanji suntikan vaksin tersebut dalam tempoh 48 jam. Dalam tempoh tersebut, cuma seorang rakan kami menerima notifikasi. Berbelas-belas yang lain tiada respons. Saya ingat telah gagal.

Alhamdulillah setelah empat hari, akhirnya tarikh yang ditunggu telah diterima. Lega sikit rasa. Saya juga berkesempatan untuk mendaftarkan isteri saya. Manakala parents saya telah lengkap dua dos kerana mereka termasuk dalam golongan warga tua berisiko. Jadi pendaftara Mysejahtera mereka secara normal telah diproses.

Untuk adik-adik saya pula, kesemua mereka telah mendaftar untuk AZ dalam fasa pertama (Ummairah di fasa kedua), jadi alhamdulillah. Apa yang saya perhatikan, dalam isu vaksin ini di dalam kelompok mana kita berada sangat memainkan peranan.

Kalau kita berada di dalam golongan pro-vaksin, kemungkinan besar kita pun akan pro-vaksin dan rasa takut jika tidak vaksin. Jika kita berada dalam golongan anti-vaksin, kita akan takut untuk divaksin.

Samalah seperti apa-apa dalam hidup ini. Kita adalah cerminan kawan-kawan rapat kita. Jadi, pilihlah kawan-kawan anda wisely.

May 24, 2021

Iraq 0904: Muntah

Filed under: Adventures,Iraq — Sabri @ 2:24 pm

Beberapa hari lepas buat pertama kalinya saya muntah di sini. Dipercayai berpunca dari angin, puasa lama tak makan dan ketika berbuka tu saya berbuka sambil meeting jadi, agak rushing.

Beberapa jam saya cuba bertahan, berguling namun setelah sapu minyak panas di perut, akhirnya saya muntah jua. Actually selepas muntah tu baru lega sedikit.

Perasaan ketika melawan senak perut tu buat saya teringat Kembali, kenapa pentingnya perlu pastikan kesihatan optimum di sini. Sakit ketika di sini memang amat menyeksakan. Prevention is always better than cure. Diharapkan tidak ada lah sakit lain lagi yang saya alami sepanjang tempoh berkhidmat di sini.

Sehingga hari ini perut saya masih tidak berapa selesa dan saya berjaga-jaga dengan amaun dan apa yang saya makan. Semoga cepatlah ia stabilize sebab saya perlu habiskan puasa enam saya. Plus tak nak ada masalah di dalam perjalanan balik nanti. Insyaallah.

May 15, 2021

Iraq 0903: Aidilfitri di Perantauan

Filed under: Adventures — Sabri @ 1:48 am

Hari ini Aidilfitri disambut oleh muslim di seluruh dunia. Walaupun saya telah menyambut dua kali Hari Raya Haji di sini, ini adalah kali pertama saya menyambut Aidilfitri tanpa keluarga di sisi. Satu soalan yang lama saya pendam dalam diri, apa perasaan beraya di perantauan ya.

Bila menyambut AidilAdha di sini, terjawab sedikit soalan tersebut. Namun ia tidaklah memuaskan hati 100% kerana, ialah kan. Hari Raya Haji mana sama dengan Hari Raya Puasa. Kini setelah berpeluang mengalami kedua-duanya, barulah saya rasa “street cred” saya telah lengkap dan boleh lah sembang mengenainya. haha..

Pertama, feeling. Ada beberapa lagu Raya popular yang menceritakan mengenai perantau ataupun musafir yang tidak dapat pulang ke kampung ketika Hari Raya. Ok, more or less they got it right.

Tetapi, personally saya rasa bulu roma lebih meremang jika actually dapat balik raya di kampung dan lagu “Balik Kampung” Sudirman berkumandang ketika dalam perjalanan.

So kesimpulannya, walaupun Raya di kampung tidak meriah ataupun tidak macam dulu, ataupun tidak buat apa, Hari Raya tetapi lebih best di kampung halaman sendiri.

Kita bolehlah mengukir senyum, ketawa di sini ketika menyambutnya di perantauan, tapi itu sekadar untuk mengubat hati sahaja. Jika terpaksa merayakan Aidilfitri lagi di perantauan, saya sedia. Tetapi jauh di benak hati, merayakannya di Malaysia lebih indah. Ialah, benda dah tersurat, takkan kita nak melayan kesedihan tu kan. Kehidupan perlu diteruskan, pengorbanan perlu dilakukan.

Bila hari raya, mestilah post gambar raya kan. Seharian juga saya memilih. Dekat tengah malam baru dapat buat keputusan. Untuk letak “solo shot” walaupun gambar lawa dan ada story, tak tergamak pula saya, nampak macam sedih sangat. Sebab tengok gambar raya orang lain yang melintas di Facebook atau IG, paling tidak pun mesti berdua.

Tahun ini juga ibu dan ayah saya merayakan Aidilfitri tanpa seorang pun anak di Permatang Badak. Tahun lepas, at least ada adik bongsu saya, tetapi tahun ini beliau melalui home-kuarantin di KL. Dan tidak ada seorang pun berada bersama yang lain (tahun lepas, adik ke-3 saya beraya di rumah adik ke 2) sebab daerah yang sama. Saya cuma sedih untuk ibu dan ayah saya sahajalah.

Sebab kami adik beradik boleh lah dikatakan antara yang berjaya di kejiranan kami tu. Alhamdulillah, mereka telah membesarkan kami dengan cemerlang. Namun, ketika orang lain at least berpeluang merayakan Aidilfitri ini dengan sekurang-kurangnya seorang anak mereka, ibu dan ayah saya cuma dapat merayakannya berdua. Jika dari pandangan simplistik, mungkin ada yang menyatakan, apa guna anak belajar pandai-pandai, kononnya berjaya tapi mak dan ayah kesunyian beraya di kampung.

Saya risau, tambahan pula Ummar (adik ketiga saya) seperti biasa suka buat emak risau di ambang raya ni. Tapi Alhamdulillah, emak saya memang seperti karakternya ketika membesarkan kami, adalah iron-lady. Beliau nampak redha, matang dan menerima ketentuan takdir ini dengan kuat. Kekuatan beliau itu menjangkiti kami untuk tabah dan steady di pagi Raya.

May 8, 2021

Iraq 0902: Good Leader vs Great Leader

Filed under: Adventures — Sabri @ 3:22 am

Dekat dunia ni, ramai good leader. Tapi tak banyak, great leader.

Memahami kenyataan ini, saya sematkan dalam hati, tak jadi great leader pun takpe, cuma jadi good leader. Yang penting, jangan jadi bad leader.

Namun setelah bertemu dengan lebih banyak orang, leaders with title dan leaders without title, saya modify sedikit pendirian saya. I must be great leader. Tak ada pilihan lain.

Good leader ni, get things done. Banyak orang boleh jadi good leader. Baru-baru ini, a colleague of mine (different department) meeting dengan seorang yang sepatutnya adalah good leader (very senior management). Memanglah meeting tersebut berbeza timezone (Malaysia dan Iraq), namun it’s not an excuse untuk meeting berlarutan sehingga well beyond time berbuka di sini. Seolah-olah tidak ada consideration untuk colleagues yang berada di timezone Iraq. Walaupun ia lewat malam di Malaysia dan attendees yang berada di Malaysia boleh claim mereka “sacrifice” personal time, it’s not an excuse supaya orang lain turut sacrifice personal time mereka. Lagi-lagi di sepuluh malam akhir Ramadhan ni.

Pengorbanan itu penting dan perlu. Tapi ada tempat, masa dan sebabnya. Berkorban masa untuk meeting tu bukan berkorban. Itu mengorbankan dan dikorbankan sebenarnya.

Good leaders get results. But at what cost?

Jika inilah good leader, saya tak nak jadi good leader. I have no choice but to become, great leader. Great leaders get results too.

Saya pernah terbaca satu quote,

Great generals don’t sacrifice their troops. Great generals get the enemy general to sacrifice his own troops.

Ok, mungkin analogi military tak sesuai sangat in corporate world. Tapi kalau setakat timing untuk meeting, in time like this, I am sure a very senior leader can set the expectation and do something about it.

Ini sesuatu yang saya perlu be aware of. Sebab kadang-kadang ini benda yang kita senang overlook, lagi-lagi bila under immense pressure dan berada dalam position of power.

Masalahnya, bukan seorang good leader yang saya jumpa macam ni. Banyak, nampak gayanya.

Sampai di sini, ada satu meme yang popular. #meeapayangpalingpanjang?

Meeting dengan …. (letak lah nama good leader yang malang tersebut).

Ok, enough about that.

I am glad to inform that Misi Memburu Lailatul Qadr is back on track. Saya tidak lah dapat settle 100% dalam routine harian, sebab cycle hidup dalam bulan Ramadhan ni memang lain sikit. It is not easy to get optimum balance.

Cuma aktiviti Ramadhan tu dapat saya kembalikan ke landasan yang betul. Alhamdulillah. Setelah bermula dengan okay di Kerteh, pertengahan Ramadhan ketika saya di Kuantan, di KL dan awal-awal di sini, aktiviti malam menjadi off-track. Alhamdulillah dah recover.

Cuma, ia bukanlah Ramadhan terbaik saya. Cuma, lebih baik dari tahun lepas saya rasa. Dari segi quantity, tahun lepas maybe lebih bagus. Tetapi sebab tak boleh pergi masjid berjemaah disebabkan PKP tu, ia seperti kurang fulfilling. Dua tahun lepas dan tiga tahun lepas rasanya lebih solid, tetapi itu sebab saya berada di tempat yang sama sepanjang bulan Ramadhan tu. Anyway, not bad.

Semoga saya dapat menamatkan Ramadhan ini dengan cemerlang, dan diberi peluang untuk bertemu kembali dengan Ramadhan tahun depan, dan do much better.

Semoga semua doa-doa kita pada Ramadhan ini dimakbulkan, segala dosa diampunkan, kehidupan kita diberkati dan dirahmati dan berpeluang untuk bertemu dengan Lailatul Qadr.

Aminnn.

April 30, 2021

Iraq 0901: Ramadhan

Filed under: Adventures — Sabri @ 5:12 pm

Saya baru tiba di Iraq kelmarin dan seperti biasa, proses menyesuaikan diri itu mengambil masa.

Pertama, dari segi masa. Sekarang, boleh dikira spring (musim bunga). Walaupun di sini tak de lah bunga sangat, tapi boleh dilihat lebih hijau sedikit. Kawasan yang air bertakung atau kelabu atau kuning sahaja ketika winter dulu, kini menghijau sedikit (tak boleh compare dengan kehijauan di Malaysia).

Subuh dalam pukul 3.40 macam tu. Spring dan summer ni, masih musim kegemaran saya berbanding winter. Sebab boleh tidur lepas subuh. Cuma bila tambah Ramadhan ni, saya masih mencari rentak.

Kalau tidur lewat, nanti susah nak bangun sebelum Subuh untuk sahur dan tahajud. Nak tidur awal, kena siapkan terawih, bersosial sedikit dan selesaikan perkara-perkara berbangkit dahulu.

Puasa di siang hari pun lebih mencabar sedikit. Saya notice di Malaysia saya cuba untuk minum 2 liter air sehari, tapi struggle jugak kadang-kadang tu. Struggle dari segi rasa terlalu banyak.

Di sini nak minum 2 liter tu senang sahaja. Contohnya, sepanjang malam semalam sahaja saya dapat sudahkan effortlessly. Tapi di waktu siang, saya tetap rasa ada ciri-ciri kurang air tu.

Ditambah pula musim covid ni. Saya cuba sedaya upaya untuk menjaga kekuatan badan supaya antibodi berada pada tahap optimum. Tapi dengan tidur yang kurang, dan jadual makan supplement yang belum teratur lagi, saya belum dapat mencapainya.

Diharapkan 2-3 hari lagi saya akan mendapat rentak dengan cepat supaya dapat menghadapi 10 malam terakhir Ramadhan dengan cemerlang. Doakan saya.

« Newer Posts — Older Posts »

Powered by WordPress