Seringkali bila saya muhasabah diri, tertenung kembali perjalanan hidup sehingga hari ini, saya tidak ada pilihan melainkan bersyukur dengan nikmat yang telah dikurniakan Allah kepada saya. Bila saya renung-renung, bukan sahaja doa-doa spesifik yang diminta telah dikabulkan, doa yang sekadar merupakan lintasan hati turut dikabulkan sama.

Benar, hidup ini bukan semuanya best. Tidak sunyi dari cabaran dan mehnah. Tapi dengan doa yang terkabul sebagai motivasi yang saya tidak menghadapinya berseorangan, memberi sedikit kekuatan untuk tegap mendepani cabaran. Kerap kali saya panjatkan doa (walaupun adik dan emak saya tidak bersetuju dengan doa ini ketika saya berbual dengan mereka mengenai hal ini), sering saya luahkan kepada yang Maha Mendengar, seriously saya bukan seorang yang kuat dan tabah. Jadi janganlah uji saya dengan ujian-ujian yang berat dan besar. Allah memang tidak akan menguji seseorang itu dengan sesuatu yang kita tidak mampu hadapinya, tetapi saya minta juga dalam keadaan itu pun saya minta waiver. Kalau saya mampu menjawab soalan Matematik Tingkatan Lima, janganlah uji saya dengan soalan Tingkatan Lima. Ujilah saya dengan tahap Tadika sahaja.

Kalau dilayan perasaan negatif yang melanda diri, memang akan hanyut. Jadi saya ingin mengambil kesempatan ini untuk recap beberapa nikmat yang telah saya nikmati.

Tinggal di Bachelor Pad Sendiri Di Ibu Kota dan Bertugas di Menara Berkembar Tertinggi di Dunia

Ketika saya mula bertugas di KL, saya menetap di rumah bujang bersama beberapa orang rakan. Seronok. Walaupun tinggal di rumah bujang tetapi ia bukanlah tipikal rumah bujang. Cukup selesa untuk kami bertiga dengan kemudahan yang lengkap.

Setelah beberapa tahun, apabila saya fokus ke arah persediaan untuk kahwin, saya berpindah solo ke bachelor pad sendiri. Di sini rumah saya memang paling selesa dan lengkap kemudahannya. Ada penghawa dingin. Internet Unifi.

Bekerja pula di menara berkembar tertinggi di dunia.

Apa lagi nak?

Ketika itu bila outstation ke Kerteh, bercuti di kawasan yang tenang sedikit atau ketika pulang ke kampung, terdetik dalam hati. Apa perasaan kalau hari-hari dapat duduk dekat tempat macam ni ya. Mesti best.

Tinggal di Rumah Kampung Yang Betul-Betul Kampung

Sekarang, sedar tak sedar lintasan hati saya tersebut telah diperkenankan. Saya cuma teringat ketika sedang menaiki tangga dapur rumah sekarang. Rumah yang saya tinggal sekarang, benar-benar rumah kampung. Rumah kayu, bahagian batu adalah dapur dan depan. Airnya sejuk, ayam berkokok di pagi hari. Jiran-jiran mengenali antara satu sama lain.

Segala apa masalah yang ada, patut tak jadi masalah lagi dengan suasana sekeliling yang mendamaikan ini.