Sabri.me, Inside Out

A-Type Geek, All Around Family Man

Category: Hijrah | Travelog Umrah (Page 1 of 2)

Pesanan Buat Diri | Belajar Cara Dakwah Dengan Hikmah

Antara perkara yang saya minta dijauhkan adalah perasaan bongkak yang datang secara tidak disedari, memakan diri secara perlahan, atau dalam bahasa adik saya “Gila Sendiri”. Simptom “gila sendiri” ini mudah. Bila kita rasa sakit hati tanpa provokasi orang lain. Orang yang ada bongkak dalam dirinya akan rasa sakit hati bila orang biasa melayannya seperti “biasa” kerana merasakan dirinya layak dilayan secara “luar biasa”. Kita sendiri banyak kali menyaksikan orang macam ini kan? Moga saya dijauhkan dari bersifat demikian.

Bongkak ini datang bukan sekadar dengan kuasa. Bukan sekadar dengan wang. Tetapi juga boleh datang bila kita rasa kita lebih baik mahupun lebih cerdik dari orang lain.

Itu perkara yang saya berkali ingatkan pada diri sendiri. Jangan rasa diri lebih baik dari orang lain. Hear people out. Dengar sebelum mahu diri difahami.

 

Bila Babi Goreng Lebih Menyelerakan Dari Ayam Goreng

Itulah juga yang saya bisikkan pada diri sendiri, sambil beristighfar bila ada kawan saya yang bertanya kepada saya, “Kenapa orang kata babi goreng lebih sedap dari ayam goreng?” “Kalau di UK nanti, cuba makan Babi Goreng Pepper. Di UK boleh makan Babi sebab darurat. Alang-alang dah darurat, makan ajalah benda yang kita tau confirm sedap.”

Ayat-ayat ini adalah ayat-ayat hipotetikal. Tetapi begitulah analoginya soalan yang diajukan kepada saya oleh seorang rakan saya. Allah menjadikan yang halal itu jelas, dan yang haram itu jelas. Yang syubhah tu yang kabur. Tetapi bila kita masih menimbang-nimbang pilihan yang haram, sama lah ibaratnya kita sedang mempertimbangkan untuk makan babi goreng  instead of ayam goreng.

Mula-mula memang saya mahu marah. Bahkan dalam hati memang saya marah. Tetapi saya teringat kejahilan saya dulu. Saya cukup anti dengan ustaz atau orang yang baik-baik yang garang. Kegarangan mereka membuat saya hilang arah lebih jauh. Saya bukan lari dari kebenaran. Saya lari dari orang-orang baik ini. Bila saya lari dari mereka, saya turut menjauh dari jalan yang lurus.

Jadi saya beritahu kepada diri saya, sabar. Senyum. Buktikan yang saya bukan pandai bercakap dan complain sahaja. Cuba tunjukkan contoh. Cuba berdakwah dengan hikmah. Cuba memahami sebelum minta difahami.

Saya pun bertanya, kenapa rakan saya itu berkata demikian? Dari mana beliau tahu “Babi goreng lebih sedap dari ayam goreng?”

Lalu beliau berkata, “Rakan-rakan saya yang bukan islam bagitahu. Lagipun harga babi goreng RM 3 sahaja seketul. Harga ayam goreng RM3.50! Kenapa harga ayam lagi mahal dari harga babi?”

Saya beristighfar lagi. Tetapi saya sudah dapat narrow down punca. Saya teringat kes-kes gadis melayu dimurtadkan kerana lelaki islam tidak gentleman dan pemarah. Sedangkan lelaki-lelaki pendakwah agama lain lebih berkarisma dan lembut. Ya Allah, tidak lelaki aku jika aku tidak dapat menjadi pemimpin dan pembimbing yang sabar dan berhikmah.

Kadang-kadang kita lembut dengan orang yang kita tidak kenali. Tetapi kita garang dan bengis dengan orang yang kita kenal dengan rapat. Ya Allah, jangan jadikan aku orang yang zalim begitu. Jika aku boleh lembut dan bersangka baik dengan orang yang aku tidak kenali, sepatutnya aku boleh lebih lembut dan lebih bersangka baik dengan orang yang aku kenali.

Saya perlahan-lahan menjelaskan. Babi makan apa sahaja yang diberi kepadanya. Termasuklah sampah sarap. Kandangnya pula kotor dan tidak terjaga. Sedangkan ayam diberi makan jagung yang paling berkualiti sahaja. Kandangnya pula dikawal suhunya dan bersih. Ayam tidak boleh kotor-kotor. Nanti dijangkiti penyakit dan cepat mati.

Kerana ayam dijaga dengan baik dan bersih, maka ia lebih mahal sedikit. Ia adalah trade-off yang wajar dan berbaloi kerana kita akan mendapat makanan yang berkualiti dan terjamin bersih.

Beliau nampak berpuas hati. Dan saya rasa saya telah berjaya meredakan keinginannya untuk makan babi.

Bila Babi Goreng di Goreng Dengan Kasih Sayang, Dan Ayam Goreng Di Goreng Cincai

Dua minggu selepas itu, rakan saya itu datang kembali kepada saya. Beliau kata, beliau tidak kisah makan babi goreng. Ayam goreng yang dijual di rumahnya tidak sedap. Penjual itu tidak isi garam dan kunyit pun. Ayam dipotong dan terus dimasukkan ke dalam kuali. Dan di goreng sehingga hangus.

Sedangkan penjual babi goreng di kedai berdekatan menggorengnya dengan begitu menyelerakan. Babi tersebut dicelup dalam telur sebelum disalut dengan tepung “Kentucky” sebelum di goreng. Baunya… Hmmm…. sungguh harum. Harganya juga lebih murah.

Beliau tidak kisah. Beliau mahukan yang paling murah.

Saya beristighfar lagi. Saya rasa ini cuma ujian kecil. Tuhan mahu melatih saya. Beliau berikan saya kawan yang tidak berapa percaya ajakan saya ke jalan yang benar. Nasib baik kawan. Jika Dia berikan saya anak yang tidak percaya kepada saya, seperti Nabi Noh a.s, sudah tentu tidak mampu saya tanggung ujian tersebut.

Saya ingat artikel saya terdahulu mengenai sabar. Allah mendidik kita. Jika satu cara tidak menjadi, Dia akan gunakan cara lain pula. Saya tidak mahu diuji dengan mendapat ahli keluarga yang tidak percayakan ajakan saya ke jalan yang benar. Jadi saya kena buktikan kepada Dia, yang saya telah belajar dan mampu bersabar membimbing hamba-hambaNya ke jalan yang benar.

Saya cuba memahami rakan saya itu.

Saya tidak salahkan beliau. Saya juga seperti beliau juga dahulu. Kami berfikir secara logik. Kami orang yang kononnya terpelajar. Kami tidak mahu taklid atau mengikut secara membabi-buta semata-mata kerana agama kata begitu. Ia mesti disokong oleh rasional juga.

Saya beristighfar. Semata-mata kerana saya tidak berselera makan babi tidak membuatkan saya lebih mulia dari rakan saya itu. Saya berdepan cabaran.

Bagaimana untuk meyakinkan beliau untuk tidak makan babi? Penjual babi goreng di rumahnya lebih berkaliber dan hebat dari penjual ayam goreng? Rakannya juga telah berkali-kali memberitahu beliau yang babi sedap. Nampak dari mata dan pertuturannya yang beliau akan makan juga babi ni. Jika tidak di Malaysia, di UK nanti pasti di makannya kerana darurat.

Saya hampir buntu. Akal saya ligat berfikir. Ya Allah bantulah hambaMu ini.

Saya sedar, hidayah adalah hak Allah. Sehebat mana kita berdakwah pun, jika tidak diizinkanNya, orang itu tidak dapat berubah. Namun, jika kita tidak berdakwah dengan cara yang terbaik, rasanya seperti kita tidak menunaikan hak Allah. Saya malu kepada Allah jika tidak menyempurnakan hakNya setelah segala nikmat yang Dia curahkan kepada saya.

Jadi saya senggangkan masa, saya menggunakan Google mencari kedai ayam goreng special di Internet. Saya tahu bercakap sahaja tidak mencukupi. Saya perlu carikan dan sediakan alternatif untuk beliau. Sekadar berkata tidak dan jangan itu tidak mencukupi. Itu malas. Jika saya benar-benar percaya yang ayam itu lebih sedap dari babi, saya perlu carikan dan tunjukkan alternatif yang ada kepada rakan saya itu. Jika saya pandai bercakap sahaja, tetapi tidak walk the talk, hipokritlah saya.

Saya cakap, jika penjual ayam goreng di rumah tu tidak hebat, jangan beli ayam goreng di situ. Saya carikan resipi ayam goreng special kepada beliau dan berikan alamat kedai ayam goreng special yang paling hampir dengan rumahnya. Cuba beli ayam goreng special ini. Sedap.

“Ya Allah, inilah usaha yang terbaik dari ku hambaMu yang lemah ini. Aku telah cuba dengan hati, lisan dan dengan tanganku mengerakkan mouse mencari alternatif yang halal di Internet untuk rakan ku ini. Jadikanlah usahaku yang tidak seberapa itu mencukupi untuk menjadi asbab beliau memilih yang halal. Bimbinglah hati rakanku itu supaya hatinya tidak terbuka kepada yang haram Ya Allah.”

 

Sabri

*rakan saya bukanlah mahu makan babi. Dan supaya anda tidak berfikir yang bukan-bukan, Babi=Pinjaman Konvensional, Ayam=Pinjaman Islamic

Rahsia Saya Boleh Balik Awal Dari Pejabat Sekarang?

Seminggu dua ini saya sudah boleh pulang agak awal dari pejabat. Dalam pukul 6.30 atau 6.45 saya biasanya sudah boleh meninggalkan office. Berbeza dengan keadaan dua tiga bulan lepas di mana kemuncaknya pukul 8 baru saya berkemas-kemas untuk pulang.

Pandangan mata kasar atau logik akal mungkin mengatakan yang kerja sudah sedikit berkurang, tetapi rasanya tidak juga. Pada satu-satu masa saya ada enam atau tujuh items dalam to do list yang perlu dibereskan. Bahkan sekarang lebih banyak distraction sebenarnya. Sekarang semakin banyak emel atau panggilan telefon yang perlu dijawab berbanding dua tiga bulan lepas.

Saya mencari jawapan. Dan saya rasa saya telah bertemu dengan jawapannya. Saya telah memikirkan hal ini sejak dulu lagi pun. Tetapi biasalah, tahu belum tentu menjadi mahu. Dan mahu belum tentu menjadi mampu.

Jawapannya ada terkandung dalam ayat berikut:

Surah Muhammad, ayat 7.

“Wahai orang-orang yang beriman! Jika kamu menolong Allah nescaya Dia (Allah) akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukan kamu.”

Dan dalam sepotong hadis

“… Apabila dia (hambaNya) mendekati-Ku sejengkal, maka Aku akan mendekatinya sehasta. Apabila dia mendekati-Ku sehasta, maka Aku akan mendekatinya sedepa. Dan apabila dia datang kepada-Ku dengan berjalan, maka Aku akan datang kepadanya dengan berlari.”

Apa yang saya cuba maksudkan?

Dulu, ketika saya ada kelapangan saya tidak gunakan kelapangan itu untuk lebih mendekatkan diri kepadaNya. Usaha itu ada, cuma tidak konsisten dan sering kalah kepada kepenatan dan godaan-godaan lain. Jadi dengan usaha saya yang seperti hendak tak hendak dan seperti melepaskan batuk di tangga itu, memanglah saya dapat apa yang saya layak. Sebab jika di rumah pun saya tidak melakukan sesuatu yang bermanfaat, saya tidak menunjukkan yang saya mampu memanfaatkan masa yang lapang, maka Allah beri saya kerja yang banyak dan 1001 alasan untuk tetap berada di pejabat sehingga malam.

Kebelakangan ini, saya cuba memanfaatkan masa lapang saya itu dengan lebih bermakna. Jika saya balik awal (sebelum Isya), saya seboleh-bolehnya akan cuba untuk solat berjemaah di masjid. Alhamdulillah, dengan izinNya ia sesuatu yang saya dapat lakukan dengan istiqamah.

Dan saya dapat rasakan perbezaannya. Bermula dengan sampai di rumah beberapa belas minit sebelum Isya dan perlu bergegas-gegas ke masjid, sekarang menjelang 7.15 biasanya saya sudah siap berada di rumah. Kadang-kadang belum masuk waktu Maghrib pun saya sudah sampai di rumah (untuk sesetengah orang sudah agak lewat, tetapi untuk saya ini sudah sangat awal!)  🙂

Walaupun hakikatnya kerja di pejabat tidaklah berkurang, kekangan masa, hambatan tanggungjawab sedikit pun tidak berubah.

Connection yang saya dapat buat adalah, dulu saya terlalai dengan dunia. Dan apabila diberikan kelapangan pun, saya tidak dapat menguruskannya dengan bijak. Sebab itulah saya tidak diberikan lebih banyak kelapangan. Tetapi kini, saya cuma menunjukkan saya mampu menguruskan 30 minit-satu jam waktu lapang yang Dia berikan, maka Dia permudahkan urusan saya serba-serbi supaya saya terus dapat menikmati masa lapang itu.

Sama halnya dengan wang sebenarnya. Ini saya notice. Orang yang miskin atau tidak kaya-kaya adalah orang yang menunjukkan mereka tidak dapat menguruskan wang dengan bijak walaupun sedikit. Sebab itulah mereka tidak dikurniakan dengan rezeki yang melimpah ruah. Sebaliknya sekadar cukup untuk transaksi harian.

Sebaliknya orang yang menunjukkan mereka dapat menggunakan wang mereka dengan bijak, dan dapat membawa manfaat kepada ramai orang dengan wang mereka, wang mereka bertambah-tambah.

Renungilah dua ayat di atas, it’s very powerful. Kadang-kadang saya rasa sebak bila cuba menghayati maknanya.

Saya sekadar berkongsi supaya kita semua tahu. Tahu yang dapat dipupuk kawan-kawan untuk menjadi mahu. Dan seterusnya dapat mendorong diri mampu. Insya Allah. 🙂

 

Sabri

Cabaran-Cabaran Dalam Kehidupan

Antara penulis, penceramah kegemaran saya adalah Ustaz Hasrizal dari SaifulIslam.com. Saya terjumpa blog beliau secara tidak sengaja apabila pernah dituduh melakukan cyber-squatting (dengan salah satu blog saya sebelum ini dengan nama hampir serupa) oleh salah seorang pembaca blog beliau (tetapi jangan risau, berani kerana benar. Orang tersebut cuma over excited dengan terminologi IT yang baru dipelajarinya. Sudah diresolvekan). Saya suka dengan teknik garapan beliau yang tepat ke jantung hati. Cara beliau mengolah bersahaja, tetapi hati yang mengalaminya sahaja yang tahu betapa benarnya contoh-contoh mudah yang beliau kongsikan.

Dalam postnya yang terbaru beliau ada menulis;

Lalu Sheikh Abd al-Qadir al-Jailani menyambung nasihatnya kepada si anak murid, “Jangan engkau mendakwa dirimu sebagai Allah, tatkala engkau mahukan semua kehendakmu berlaku. Engkau mahu semua yang engkau hajatkan menjadi kenyataan. Ketika engkau mempunyai harapan yang begitu, engkau seperti mendakwa dirimu Tuhan. Kerana hanya Tuhan yang berhak begitu!”

Harapan yang tinggi mesti disertakan dengan sifat kehambaan.

Jangan harapan itu menimbulkan rasa kecewa apabila ia tidak kesampaian, hingga kita terlupa kita hanyalah hamba. Hamba yang boleh berharap, namun segalanya pulang kepada kehendak Tuhan.

Satu peringatan untuk saya sendiri. Dalam rasa ghairah menikmati kehidupan yang baru, dalam rasa kesyukuran atas makbulnya doa, dalam keadaan suka merasakan diri sentiasa dilindungiNya, saya perlu ingat yang saya cuma hambaNya. Hamba yang hanya boleh berharap tetapi tidak boleh lupa untuk sentiasa meminta, merayu kepadaNya.

TanpaNya, tidak ada apa-apalah saya ini.

“Jangan pula engkau mendakwa dirimu seorang Nabi, yakni tidak kira setinggi mana engkau berusaha mencapai Taqwa dan pembaikan diri, jangan sesekali engkau merasakan dirimu tidak bersalah dan tidak berdosa. Sesungguhnya yang bersih dan terpelihara daripada dosa itu hanyalah seorang Nabi yang maksum.

Oleh itu, tidak kiralah berapa lama engkau telah mendampingi gurumu, jangan sesekali engkau menyangka yang tiada kesilapan yang berlaku pada perjalanan hidupmu hingga engkau terjebak kepada apa yang telah aku nasihatkan kepadamu itu”

Satu panduan pula kepada saya. Dalam berkongsi dan dalam menghadapi kehidupan “pasca-taubat” seperti kata Ustaz Hasrizal, saya perlu sentiasa ingat yang saya bukan maksum. Saya cuma manusia biasa yang tidak dapat lari dari melakukan kesilapan.

Beliau mengakhiri post beliau dengan:

Sesungguhnya taubat dan kesedaran kita hanya di satu peringkat kehidupan.

Kita masih berjuang mengejar Husn al-Khatimah.

Bersederhanalah dalam membina harapan.

Agar kecewa dan keluh kesah tidak menjadi bahasa harian.

Banyakkan berdoa, banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi.

Bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.

Argh, ini satu artikel yang sangat mengesankan.

Banyakkan berbicara yang positif, banyakkan memberi motivasi, bukan untuk sesiapa, lebih kepada diri sendiri.

Semoga jika ada kebaikan yang disebarkan, ia kembali menaungi kehidupan saya. Hidup saya cuma ihsan dariNya. 🙂

 

Sabri

Tips Menjadi Orang Yang Baik

Ramai orang mahu menjadi orang baik-baik. Tetapi kadang-kadang, susah juga untuk jadi baik.

Kita rasa kita baik. Tetapi adakalanya kita berfikir, “Eh, baik ke aku ni?”. “Kenapa aku fikir macam ni?”. Kadang-kadang kita rasa bersalah dan berdosa atas pelbagai sebab. Kadang-kadang kita terfikir, banyak betul cabaran yang perlu kita hadapi. Macam mana nak jadi baik ni?

Hendak menjadi baik adalah satu proses.

Apa maksudnya?

Tidak ada orang yang tiba-tiba sahaja jadi betul-betul baik. Orang yang betul-betul konsisten baik, telah melatih dirinya berada dalam kebaikan untuk satu masa yang lama. Jadi dia telah berdisiplin untuk menjadi baik.

Jika kita sedang berusaha untuk menjadi baik, tetapi tiba-tiba kelihatan seperti banyak cabaran, dan kita rasa seperti tidak mampu bertahan lagi, jangan patah hati. Itu adalah lumrah.

Hari ini saya ingin berkongsi satu tips yang boleh membantu kita menjadi lebih baik. Yang boleh membawa tahap baik kita lebih tinggi sedikit setiap kali berhadapan dengan cabaran.

Sebelum itu, mari kita lihat level baik dahulu. Baik pun ada banyak tahap-tahapnya.

  1. Manusia yang baik, tetapi tidak solat.
  2. Manusia yang baik, solat kadang-kadang bila senang (sembahyang Jumaat).
  3. Manusia yang baik, solat seorang-seorang.
  4. Manusia yang baik solat seorang diri selalu, kadang-kadang berjemaah bila senang.
  5. Manusia yang baik, solat berjemaah lebih kerap dari solat seorang diri dan selalu mengerjakan solat sunat dengan konsisten.
  6. Baik yang setulusnya baik, di dalam solat dan di luar solat (dalam kehidupan).

Dari pengalaman saya yang terhad ini, betullah apa yang dikatakan itu solat adalah pencegah dari kita melakukan dosa. Saya rasa lebih “mudah” dicompromise jika solat saya kurang berkualiti.

Untuk menjadi seorang manusia yang baik secara konsisten, mulalah bersolat.

Jika kita bermula di level 2, tanam azam untuk melangkah ke level 3.

Apabila kita ingin melangkah level, kita akan dapati cabarannya semakin kuat. Sebagai permulaan, fahami bacaan dalam solat. Fatihah yang pertama. Kemudian bacaan dalam rukuk dan sujud. Kemudiaan, doa yang paling bermakna dalam solat, doa ketika duduk di antara dua sujud.

Bila kita faham makna bacaan-bacaan ini, kualiti solat kita akan up sikit. Lebih mudah untuk khusyuk.

Macam mana perasaan khusyuk dalam solat?

Saya pun tak pasti apa khusyuk tu. Tetapi saya rasa perasaan khusyuk tu sama seperti bila kita khusyuk buat sesuatu. Pernahkah kita khusyuk membaca buku? Khusyuk menonton TV sehingga tak sedar masa berlalu dan apa yang berlaku di sekeliling kita?

Jadi khusyuk dalam solat pun begitulah. Kita khusyuk dan seronok bersolat sehingga kita tidak berapa sedar apa yang berlaku disekeliling kita.

Bersolat adalah seolah-olah kita sedang bercakap dengan Allah. Sebab itulah penting untuk kita memahami maksud bacaan dalam solat, supaya kita dapat seolah-olah sedang bercakap dengan Allah. Ia akan sangat membantu meningkatkan kekhusyukkan kita.

Solat yang sempurna adalah pencegah kemungkaran. Lebih sempurna solat kita, lebih banyak kecenderungan untuk terbuat dosa itu dapat dibatasi.

Setelah selesai solat dan berdoa, sukat solat kita. Dari 0-100, berapakah markah yang kita rasa solat kita dapat capai? Jika berdasarkan solat kita itu sahaja, sudikah Allah memakbulkan doa dan permintaan kita? Usahakan agar markah kita semakin lama semakin tinggi.

Selepas kita mempersiapkan diri untuk memahami bacaan dalam solat ini, cuba-cuba untuk biasakan diri dalam level 3. Kita akan dapati banyak temptations lain mula hinggap. Syaitan prebet telah tidak mampu mengalahkan kita. Sekarang syaitan korporal pula datang cuba untuk menggoda kita. Jadi sebab itu temptations tersebut semakin hebat.

Tetapi bagusnya dalam level 3, kita sudah ada sedikit basic. Di mana boleh, solatlah sunat. Ia berfungsi untuk menampung kedaifan solat wajib yang kita lakukan dalam keadaan yang tidak berapa khusyuk.

Berdoalah agar Allah menetapkan hati kita dan menjauhkan kita dari melakukan dosa-dosa terhadapNya.

Mulalah untuk membaca Al Quran. Ayat-ayat al Quran berupaya melembut dan melunakkan hati kita. Hafallah sedikit-sedikit ayat-ayat lazim. Untuk solat Subuh, Mahgrib dan Isya bersolatlah dengan suara yang jelas.

Kita akan dapat rasakan kualiti solat kita semakin meningkat sedikit.

Apabila kita mula tidak meninggalkan solat, kita akan dapat rasakan perbezaannya dalam hidup.

Mula berjinak-jinak untuk berada di level 4. Kita harus pastikan kita tidak lama di level 3. Berseorangan boleh, tetapi dengan jemaah kita akan lebih kukuh bersama. Aturlah waktu supaya sekurang-kurangnya kita dapat peluang untuk solat berjemaah secara konsisten. Solatlah berjemaah walaupun kita sampai ketika orang lain sudah di tahiyat akhir.

Ada orang mudah untuk solat Zuhur dan Asar berjemaah. Ada orang mudah untuk solat Maghrib atau Isya berjemaah. Ada orang mudah untuk solat Subuh berjemaah. Tak kisah solat apa pun, cubalah.

Jangan lupa untuk berdoa sendiri selepas solat. Doakan supaya proses kita untuk menjadi baik dipermudahkan. Curi waktu juga untuk solat sunat.

Setelah beberapa ketika, untuk menggapai level 5 semakin senang. Saya tidak tahu pengalaman orang lain. Saya pernah terdengar beberapa kali yang solat Subuh dan Isya adalah solat yang paling sukar untuk berjemaah. Tetapi disebutkan lagi jika kita tahu kebaikannya, kita akan berusaha untuk ke masjid juga walaupun tidak berkaki.

Jadi cuba usahakan solat Subuh dan Isya berjemaah.

Secara automatik, bila kita solat Subuh berjemaah peluang untuk mengerjakan solat tahajud itu semakin tinggi.

Akhirnya, secara tidak sedar kita akan berada di level 5.

Bila kita menjaga solat, insya Allah hati kita mudah lembut dan lebih senang untuk menjadi konsisten baik. Dengan syarat, solat dengan ikhlas dan khusyuk. Terus sukat solat diri. Pastikan sentiasa A+.

Sukar, tetapi tidak mustahil.

Mungkin kita tidak mampu untuk menjadi “baik” dalam erti kata yang sebenarnya sepanjang masa. Mungkin kita tidak cukup baik dibandingkan dengan orang yang baik yang lain.

Tetapi cerita kita berbeza dengan orang lain.

We have come a looong way.

Allah tidak memberi ganjaran kepada hasil sahaja seperti lumrah dunia. Allah memberi markah yang besar kepada usaha. Kepada proses. Walaupun hasil akhir mungkin tidak seperti diharapkan. Dengan syarat usaha kita didedikasikan untukNya.

Tidak bolehkah saya menjadi baik tanpa solat?

Boleh. Tetapi sukar untuk kekal lama. Solat membantu kita mengawal hati dan fikiran. Lima kali sehari kita melatih mententeramkan hati. Tanpa solat, hati dan fikiran tidak dilatih untuk tenteram. Doubts, temptation akan dapat menawan hati dan fikiran kita dengan lebih mudah. Dan sudah tentu bila hati dan fikiran kita sudah di tawan, susah untuk kita jadi baik lama-lama.

Bila bercakap mengenai tidak baik, kita mungkin tidak sampai tahap membunuh orang, tetapi kita mungkin menyakitkan hati orang.

Jadi kesimpulannya, untuk jadi orang yang baik perlu solat?

Ya. Tetapi ingat, cuma solat yang sempurna mampu menjadikan kita baik. Darjah solat yang tinggi akan melatih hati dan diri kita untuk mencapai tahap baik yang tertinggi juga. Tetapi jika solat kita biasa-biasa sahaja, kita akan jadi orang yang biasa-biasa juga.

Selagi kita 75% berada dalam landasan yang baik, insya Allah kita akan diberi peluang untuk hidup sebagai manusia yang lebih baik.

Solat adalah kunci kepada segala-galanya. 🙂

 

Sabri

Hijrah| Doaku Kepada Yang Maha Mendengar

Satu perkara yang saya paling suka mengenai diri saya dan bersyukur dikurniakannya adalah sikap tidak cepat mengalah. I am not a quitter if I really want it. I am more than willing to fight if I believe in the cause.

I see the traits proven again and again, all throughout my life. Even when a lot of people have written me off, I manage to even surprise myself with what I manage to achieve despite all the odds that were stacked againts me.

True, I might not win all the fights I am involved, but in majority of them I prevailed. I believe that Allah will not disappoint you. Jadi bila ada orang meminta saya mengubah impian dan target saya kerana berasakan impian saya itu terlalu tinggi untuk saya capai, saya tidak akan mengubahnya.

Biarpun masa semakin suntuk. Biarpun pilihan saya semakin kurang.

Saya tidak pernah mengukur impian saya dengan menggunakan ukuran orang lain. Jika orang lain tidak mampu melakukannya, dan tidak ada seorang pun di dunia ini mampu melakukannya, dan jika ada hanya seorang sahaja yang mampu melakukannya di dunia ini, saya rasa saya adalah orang itu.

Jika saya benar-benar mahu.

Dalam merealitikan impian saya, prinsip saya mudah. Saya buat yang terbaik, ambil tindakan yang bijak, dan lakukan dengan bertubi-tubi sehingga berjaya.

Jika telah mencuba segala-galanya dengan konsisten, bijak, tanpa jemu dan putus asa, tetapi hasilnya tetap tidak berpihak pada saya, maka saya akan move-on.

Tetapi cuma setelah saya cuba dan melakukan SEMUA yang terdaya saya lakukan.

Setelah itu saya serahkannya kepada Tuhan.

Untuk saya mengalah dan merendahkan target ataupun impian saya, samalah seperti saya meragui kepada kuasa Tuhan saya yang Maha Pemurah lagi Penyayang.

Tuhan saya telah berjanji, berdoalah dan akan Aku kabulkan.

Maka saya berdoa.

Jika sekalipun I don’t measure up, dan dengan kebolehan saya itu ditakdirkan saya tidak layak, saya percaya Allah akan top-up untuk saya yang selebihnya untuk merealisasikan impian saya itu.

Bukankah kita dikatakan tidak akan masuk syurga dengan amal ibadat yang kita lakukan? Kerana ia tidak mencukupi untuk kita layak. Sebaliknya kita hanya akan masuk syurga dengan rahmat dan belas Allah?

Ya Allah, aku tidak ada Tuhan lain selain Engkau. Dan aku tidak berharap kepada yang lain selain Engkau.

Jika ada belas dan rahmat Mu kepada ku, jika dengan tulisan aku ini dapat menyampaikan pesananmu kepada hambaMu yang lain supaya berusaha untuk menjadi yang terbaik dan jangan berputus asa dengan rahmatMu, maka Kau berikanlah aku kebaikan seperti yang telah Kau janjikan.

Kau realitikanlah permohonanku saban waktu.

Bukankah Kau hanya perlu berfirman “Jadilah Engkau”,maka ia akan terus terjadi.

Kau kabulkanlah permintaan aku ini Ya Allah. Sesungguhnya kaulah yang Maha Pemurah kepada makhlukmu dan Maha Penyayang kepada yang beriman di antara mereka.

KepadaMu jua aku mempertaruhkan kepercayaanku Ya Allah.

Hijrah | Travelog Umrah | Checklist Ibadah Mengerjakan Umrah

Hijrah-Travelog Umrah adalah sebuah catatan “hijrah” peribadi saya. Ini adalah artikel keempat dalam siri ini. Anda boleh membaca bahagian pertama, kedua dan ketiga dari sini (Hijrah | Travelog Umrah)

Saya akan berangkat ke Tanah Suci dalam 5 hari lagi. Saya rasa ia masa yang sesuai untuk saya berkongsi dengan anda persediaan saya untuk ke sana. Bukan dari segi material (barang apa yang perlu di bawa), tetapi dari segi spiritual dan amalan kerohanian.

Saya memandang perjalan untuk mengerjakan Umrah ini sebagai satu pesta “buffet” makanan. Ada banyak makanan (amalan ibadah) yang terhidang yang menawarkan rasa dan bentuk kelazatan yang berbeza (pahala dan sebab). Ada makanan yang sesuai dijadikan pembuka selera (amalan pembuka) dan ada yang sesuai dijadikan pencuci mulut. Ada juga hidangan utama (ibadah umrah itu sendiri).

Saya berazam untuk merasa setiap jenis hidangan yang ada, dan untuk memastikan saya mendapat kekenyangan dan kelazatan maksimum saya juga mempunyai rancangan-rancangan tersendiri mengenai bila, di mana dan tertib melakukan ibadah tersebut.

Sebelum itu suka ingin saya mengingatkan yang saya cumalah manusia biasa dan bukanlah seorang ustaz. Saya belajar dengan membaca dan bertanya kepada mereka yang lebih tahu. Dan saya sesuaikan cara melakukan ibadah-ibadah ini (yang sunat), berdasarkan kepada objektif dan kebolehan saya.  Jangan jadikan tulisan saya ini sebagai ikutan muktamad anda. Saya menulis ini sekadar untuk mengingatkan diri saya sendiri.

Anda perlu mempunyai rancangan ibadah anda sendiri berdasarkan apa yang anda mahu dari pesta buffet ini.

Cara Mengerjakan Umrah

  1. Mandi sunat ihram di hotel (Niatnya sahaja aku mandi sunat Ihram kerana Allah Taala)
  2. Solat sunat ihram di Miqat (Niatnya, sahaja aku sembahyang sunat Ihram dua rakaat kerana Allah Taala)
  3. Berniat mengerjakan Umrah di Miqat (Nawaitul ‘Umrata Wa Ahramtu biha Lillahi Ta’ala, maksudnya sahaja aku berniat umrah dan berihram dengannya kerana Allah Ta’ala)
  4. Bertalbiah dalam perjalanan ke Masjidil Haram (Labbaikallahumma Labbaik, Labbaikala Syarika Laka Labbaik , Innal Hamda Wan Ni’mata, Lakawal Mulk, La Syarii kalak)
  5. Tawaf Kaabah 7 pusingan, sunat berdoa ketika mata kali pertama memandang Kaabah.
  6. Solat sunat di belakang makam Ibrahim
  7. Minum air zam zam dengan doa (Allah humma in ni As Aluka ‘Ilman Naafi’an, Warizqan Toiyiban Wa syifa An Min Kullidak)
  8. Saie dari Safa ke Marwah
  9. Bertahalul (gunting sekurang-kurangnya 3 helai rambut)

*Hijau adalah 4 rukun umrah. Yang lain itu adalah sunat sahaja.

Solat Sunat Yang Ingin Dilakukan (perlu tahu cara menunaikannya)

  1. Solat Sunat Taubat
  2. Solat Sunat Hajat
  3. Solat Sunat Tahajjud
  4. Solat Sunat Istikharah
  5. Solat Sunat Dhuha
  6. Solat Sunat Tasbih

Untuk solat-solat sunat ini, jika anda melakukan carian di Internet, kebanyakannya mempunyai doa khusus. Namun jangan jadikan ia sebagai penghalang dari mengerjakannya. Selain dari solat Tasbih, solat lain sebenarnya adalah solat sunat yang sama sahaja, yang berbeza adalah surah yang dibaca atau apa yang dibaca selepas solat.

Raptai

Disamping keinginan untuk menunaikan solat-solat tersebut (ada solat seperti solat sunat Tasbih yang saya tidak pernah lakukan dalam hidup sebelum ini sebenarnya), dicadangkan juga untuk kita lakukan sekali di sini dulu sekurang-kurangnya. Usaha juga untuk memahami bacaan dalam solat sekurang-kurangnya Al Fatihah, bacaan ketika rukuk dan sujud supaya ia boleh menambahkan kekusyukan solat kita.

Persediaan Fizikal

Banyakkan berjalan (beberapa kilometer atau menaiki bukit) dalam tempoh persediaan sebelum pergi ini supaya nanti kita tidak “terkejut”. Ada pendapat mengatakan pahala 7 kali umrah bersamaan 1 kali haji, jadi kita mungkin mahu mengambil sepenuh-penuhnya peluang di sana untuk beribadat sebanyak mungkin kepadaNya. Jangan sampai kelemahan fizikal kita mengganggu.

Biasakan juga solat berjemaah supaya kita dapat momentum awal untuk diteruskan di sana. Rebutlah saf pertama supaya di sana nanti kita tidak segan-silu untuk berebut untuk saf depan dan juga di kawasan yang makbul doa.

Antara Kawasan-Kawasan Yang Makbul Doa

  1. Di Raudhah Masjid Nabi (Madinah)
  2. Di Jabal Rahmah (Jabal Rahmah)
  3. Multazam
  4. Di bawah pancur air kaabah
  5. Dibelakang Makam Ibrahim
  6. Di kawasan Hijr Ismail
  7. Di Bukit Safa
  8. Di Bukit Marwah
    (tidak limited kepada ini sahaja. Ada beberapa lagi kawasan yang tidak disenaraikan oleh semua rujukan, jadi saya tidak berani untuk senaraikan di sini, takut nanti menyebarkan sesuatu yang tidak betul)

Saya rasa cukup sekadar ini dahulu perkongsian mengenai checklist saya. Doakan saya selamat pergi, selamat pulang dan berjaya mendapat pahala, rahmat, keberkatan, doa yang makbul dengan sebanyak-banyaknya ketika di sana nanti.

Terima kasih

Sabri

Hijrah | Travelog Umrah | Beriman Kepada Hari Akhirat

Hijrah-Travelog Umrah adalah sebuah catatan “hijrah” peribadi saya. Ini adalah artikel ketiga, anda boleh membaca coretan pertama Hijrah – Travelog Umrah, Permulaan Sebuah Perjalanan di sini dan coretan kedua, Kehilangan di sini. Semoga perkongsian ini dapat memberi manfaat kepada kita semua.

Beriman Kepada Hari Akhirat

Kita telah belajar Rukun Islam dan Rukun Iman sejak darjah satu lagi. Alhamdulillah.

Biasanya ini bermaksud, sejauh mana pun kita pergi, kita tetap ada asas yang ditanam kita masih kecil. Waktu kita sudah besar dan panjang langkah ini, teringat juga pesan ustaz-ustazah kita dulu. Ketika saya membaca catatan-catatan perjalanan orang lain sebagai persediaan saya ke sana, tiba-tiba hati saya tersentuh. Atau terbuka.

Kemudian saya teringat secara kasarnya pelajaran dari kelas Agama saya ketika di sekolah rendah dulu.

Apa maksud Beriman dengan Hari Akhirat?

Dan sejauh mana kita sebenarnya betul-betul beriman dengan Hari Akhirat?

Bila saya bertanya diri sendiri soalan tersebut, dan kemudian bila saya bandingkan dengan apa yang saya tahu dan saya amalkan, saya rasa takut sangat dan saya tersedar betapa jauhnya manusia boleh pergi. Dalam benda-benda mudah sahaja pun, bukan dari segi amalan ataupun dosa-dosa yang kita buat, tetapi dari cari hidup dan “assumption” kita tentang hidup.

Bersediakah Kita Untuk Pergi Selamanya Esok?

Dalam proses untuk pergi ke Tanah Suci untuk Haji atau Umrah, jemaah dinasihatkan untuk bersedia seolah-olah mereka pergi tidak akan kembali. Tinggalkan hal-hal dunia untuk diuruskan oleh yang ditinggalkan, dan fokus kepada persediaan kita untuk bertemu Yang Maha Pencipta.

Saya pun cuba untuk menurut pesanan tersebut.

Ya Allah, begitu sukar dan baru saya tersedar.

Hutang

Dulu, ketika kecil ustazah saya pernah memberitahu yang kalau ada hutang dengan orang, roh kita akan tergantung kerana urusan dunianya di kira tidak selesai. Bahkan ada disebutkan dalam hadis Nabi, yang mati syahid pun akan tertahan dari masuk syurga tanpa hisab kerana hutang. Wallahualam.

Bila ustazah cakap macam tu, kami semua punyalah takut. Nak pinjam duit kawan sepuluh sen pun takut. Takut terlupa, takut mati tak sempat bayar. Nanti di akhirat, takut kena bayar dengan harga yang lebih mahal akibat hutang tersebut.

Begitu sucinya waktu kecil dulu. Minda belum terpengaruh dengan benda bukan-bukan lagi.

Pahala Berterusan

“Apabila mati seseorang manusia maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga punca : sedekah yang berkekalan,  Ilmu yang dimanfaatkan oleh orang  dan  anak yang soleh yang mendoakannya. “

Saya insaf juga sebab biasa diingatkan yang setelah kita pergi, memang tidak ada cara lagi untuk bertambah amal kebaikan kita kecuali oleh tiga perkara seperti yang di atas. Bila saya congak-congak hidup saya ni, memang terasa daifnya. Anak yang soleh tu memang dah tak ada buat masa ini. Jadi saya kena melipatgandakan lah yang dua lagi tu (salah satu sebab wujudnya siri Hijrah|Travelog Umrah ini).

Bila dah rasa begitu, saya mahu sangat-sangat buat kebajikan yang terakhir dengan sedikit harta-harta yang saya ada. Saya mahu pastikan semua hutang-hutang saya (jika ada) terbayar dan baki harta-harta saya digunakan ataupun disedekahkan oleh waris-waris saya supaya saya mendapat manfaat berterusan walaupun telah tiada.

Ini Sebenarnya Yang Saya Cuba Nak Sampaikan

Kita kata kita beriman. Tetapi sejauh mana kita bersedia untuk Hari Akhirat? Sejauh mana kita bersedia jika kita meninggal dunia (mati) esok?

Ke, dalam hati kita ada sebenarnya tertanam rasa kita tidak akan mati lagi esok sebab kita masih muda?

Ke, kita hidup di dunia ini, saat ini dengan cara orang yang masih ada banyak masa lagi untuk hidup dan bertaubat?

Gaya mana sebenarnya kita hidup hari ini?

Sama-sama kita fikirkan dan hisab diri kita sekarang.

Kalau kita mati esok, adakah waris-waris kita tahu mengenai hutang-hutang kita semuanya? Adakah harta kita akan dimanfaatkan dari hari pertama kita mati atau tertahan kerana proses birokrasi (tukar nama, etc)?

Bila saya baca-baca mengenai hal ini, saya tiba-tiba rasa perlu untuk membuat wasiat bertulis sebagai persediaan. Supaya saya boleh berkata di akhirat nanti, memang saya telah mencuba sebaik-baiknya sehingga ke akhir hayat saya untuk memastikan hak orang saya telah selesaikan dan saya telah manfaatkan sepenuhnya harta dan amanah yang telah diberikan kepada saya.

Ada orang berkata, dia tiada hutang, harta pun kurang. Apalah gunanya berwasiat. Lagipun orang Islam kan ada Faraid.

Pada saya jika kita ada pemikiran seperti itu, kita sebenarnya kena tengok betul-betul semula kepercayaan kita kepada Hari Pembalasan. Setiap satu kebajikan akan menerima ganjaran dan setiap satu dosa akan menerima balasan walaupun sebesar zarah.

Pertama, urusan agama bukan macam urusan dunia. “Hutang” yang sebenar bukan semestinya “hutang” atas nama kita sahaja. Adakah kita mempunyai “hutang” atas nama orang lain?

Jika kita mati, adakah hutang tersebut terhapus 100%? Atau sekadar 50%? Atau tidak terhapus terus?

Kedua, harta yang sedikit itu. Sudahlah harta sedikit, tiada manfaat pula yang kita dapat setelah kita mati. Alangkah kesiannya. Jika harta sedikitlah kita perlu ghairah berwasiat supaya dari harta yang sedikit itu kita akan mendapat saham akhirat yang sebesar mungkin sepatutnya.

Percayalah kepada Hari Pembalasan dan Bertakwalah Kepada Allah dan Takutlah Kepada JanjiNya

Harta saya tidak banyak. Hutang saya pun setakat hutang kad kredit yang memang saya bayar tiap-tiap bulan penuh. Saya cuma takut apabila saya mati nanti, hutang kad kredit untuk bulan kematian saya itu tidak dilunaskan oleh waris-waris saya kerana mereka tidak tahu. Saya takut dan tidak mahu roh saya terseksa walaupun satu hari. Saya mahu nikmat yang dijanjikan Allah iaitu waktu di kubur adalah waktu penantian yang sementara dan aman untuk menunggu Akhirat.

Mungkin budaya kita tidak membincangkan soal harta dan soal-soal seperti ini secara terbuka. Seolah-olah macam tamak dan gelojoh sangat. Tetapi saya rasa ini perlu diubah. Tak bercakap soal harta dan kematian ini sebenarnya kerana kita tidak betul-betul yakin dan beriman dengan Hari Akhirat.

Dalam wasiat tersebut, saya senaraikan juga harta-harta yang tidak sepertinya itu (seperti buku-buku saya~bukan harta yang besar sangat pun) dan pesanan-pesanan dengan harapan saya mendapat manfaat dan amal kebajikan yang berterusan walaupun telah tiada.

Menyentuh mengenai sistem Faraid, ya betul. Harta peninggalan orang Islam akhirnya akan dibahagikan melalui sistem Faraid. Tetapi keywordnya adalah “akhirnya”. Biasanya kerana proses birokrasi yang tidak pernah habis, ia akan mengambil masa bertahun-tahun. Ini secara tidak langsung akan menyusahkan waris kita. Dan pembahagiannya rumit juga.

Bayangkan jika anda meninggal dunia dan meninggalkan harta sebuah rumah bernilai RM 300,000 dan wang simpanan berjumlah RM 50,000.  Memang boleh dibahagikan harta-harta tersebut mengikut Faraid.

Tetapi siapa yang akan dapat rumah, dan siapa yang akan dapat wang?

Orang yang mendapat rumah tersebut sudah semestinya akan dapat lebih dari bahagiannya berbanding dengan orang yang dapat wang. Malah, mungkin terpaksa berkongsi pula dengan orang lain. Bagaimana jika ada waris mahu jual, tetapi ada waris lain yang berkongsi mahu simpan?

Jadi, dapatkah anda 100% manfaat dari rumah tersebut?

Begitu juga jika ada akaun bank dengan baki minima yang anda pernah buka tetapi untuk beberapa sebab anda jarang menggunakannya dan tidak diketahui kewujudan oleh orang lain. Tanpa wasiat untuk memberitahu waris mengenai kewujudan akaun tersebut, mereka tidak akan tahu.

Bila kita dah tiada, RM 10 pun jika ada kita nak dermakan. Kita nak pahalanya. Kita sangat-sangat perlukan amal kebajikan tersebut. Jadi dengan wasiat kita dapat manfaatkan setiap sen yang kita tinggalkan.

Proses menulis wasiat ini bukanlah sekadar proses membahagikan harta.

Ia mengingatkan kita mengenai mati. Ia menjadikan mati itu real.

Ia berikan kita peluang untuk merancang bekalan dan menghisab diri sendiri sebelum dihisab di hari Akhirat.

Kita akan rasa lebih tenang dan lebih bersedia.

Jadi tulis wasiat walaupun harta kita sedikit dan hutang kita tiada.

Hal ini ditekankan dalam satu hadis Nabi Muhamad S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibnu Majah bermaksud

“Tidak boleh tidur seorang insan islam melainkan dia menulis wasiat disisinya.”

Semoga urusan kita dipermudahkan olehNya dunia dan akhirat.

(bersambung)

Page 1 of 2

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén