Sabri.me, Inside Out

A-Type Geek, All Around Family Man

Month: March 2011

Suis Yang Dapat Menyelesaikan Semua Masalah Manusia

Kita sentiasa tercari-cari satu solusi yang dapat menyelesaikan masalah kita dengan segera. Seperti suis elektrik. Kita tekan sahaja, masalah selesai.

Umur anda sudah berapa tahun sekarang?

Setelah bertahun-tahun anda mencari, anda pernah jumpa solution segera seperti itu?

Tidak bukan?

Itulah hakikat kehidupan. Pahit tetapi tidak pahit sangat sebenarnya.

Semua dari kita ada masalah sendiri. Bezanya cuma kecil dan besar. Kita ambil contoh satu sahajalah, lapar.

Bila kita ada masalah lapar, kita makan. Selesai masalah.

Tetapi kemudian kita akan lapar semula. Kena makan lagi.

Begitulah sebenarnya masalah yang kita hadapi sehari-hari. Baik masalah yang menyebabkan kita sedih atau marah, jangan terkejut jika ia datang berulang-ulang. Ia bukanlah tanda kita tidak pandai menyelesaikan masalah, tetapi ia adalah lumrah alam.

Kita cuma kena tahu yang masalah itu boleh diselesaikan dan tidak akan menyusahkan kita jika kita tidak izinkan. Kita perlu “sedar” diri dan tidak bertindak yang bukan-bukan sehingga masalah itu menenggelamkan kita.

Saya rimas bila orang merujuk saya sebagai motivator atau menganggap saya penyelesai masalah yang tidak pernah ada masalah. Manalah ada orang seperti itu di dunia ini.

Walaupun kita tidak sempurna dan tidak mempunyai semua jawapan kepada masalah dalam dunia ini, ia tidak menghalang kita untuk menjadi manusia yang baik. Walaupun latar belakang dan sejarah kita penuh dengan kesalahan dan kesilapan, ia bukan halangan untuk kita berubah dan menjadi baik.

Masih belum terlambat. Tidak bermaksud kita jahat dulu kita akan jadi jahat selamanya.

Tuhan pun sentiasa membuka pintu taubat sehingga nyawa di kerongkong. Usah dilayan manusia yang kuat melabel.

Yang penting kita mahu berubah, dan kita berubah bermula sekarang dan tidak bertangguh.

Nak berubah itu memang susah. Ada sahaja masalah yang akan datang untuk menyesatkan kita kembali. Namun, teknik saya macam ini. Kenalpasti satu aktiviti atau prinsip core kita. Benda yang macam mana sekali pun kita tidak boleh abaikan. Pegang dengan kuat dan jadikan ia habit dan sebahagian dari disiplin kita.

Yang lain-lain tu kita buat yang terbaik. Kalau kita tersasar sedikit, maafkan lah diri kita dan jangan jadikan ia sebagai satu alasan untuk berhenti berubah.

Sebagai contoh dalam hidup saya, aktiviti core itu adalah solat. Sebab Allah telah berjanji;

Solat itu adalah pencegah kemungkaran.

Jika kita tidak tinggal solat, lebih mudah sedikit kita nak lawan temptation-tempation lain tu. Jadi apa yang terjadi pun, darurat macam mana sekali pun, saya akan pastikan solat terjaga.

Tetapi bukan semua solat adalah pencegah kemungkaran. Solat kita perlu khusyuk. Dan sebagai manusia yang lemah, memang susah untuk kita melatih minda kita ni untuk khusyuk waktu solat, jadi saya ambillah langkah-langkah mudah untuk memahami bacaan dalam sembahyang (mula dengan takbiratul ihram, fatihah, rukuk & sujud, duduk antara dua sujud, tahiyat dan surah lazim). Dan untuk menampal solat-solat saya yang compang-camping tu, saya rajin-rajinkan diri untuk solat sunat.

Ini juga sebenarnya berkaitan dengan tabiat. Bila kita paksa diri kita buat secara konsisten, lama-lama bila kita tangguh-tangguh, kita sendiri akan rasa tak best. Jadi selesai satu masalah. Cuma perlu kekalkan momentum tu sahaja.

Adapun benda-benda sampingan lain seperti sabar, tidak marah, ikhlas dalam pekerjaan dan lain-lain tu, saya cuba sehabis baik untuk ikut. Tetapi kadang-kadang jika tersasar tu, adatlah. Saya akan muhasabah dan cepat-cepat buang masalah tersebut. Maafkanlah diri sendiri.

Kalau gagal, jangan frust atau give up. Failure is to be expected. Yang penting kita kena buat course-correction cepat. Pelik la kan kalau ada seorang bayi tu boleh berjalan laju terus kan? Seorang bayi tu mesti kena bertatih-tatih dulu baru boleh berjalan kan?

Orang tua pun macam tu juga. Bukannya buat sekali terus selesai masalah. Kena bertatih juga. 🙂

Wisata Hujung Minggu

Cadangan awal saya mahu ke tempat yang hijau dan dingin. Tetapi atas sebab jauh, tidak ada kekosongan dan sebagainya, saya pergi ke tempat yang hijau sedikit aje tetapi masih tetap sunyi dan tenang untuk sedikit “personal” time.

 

Dapatlah juga saya menenangkan fikiran. 🙂

Semoga anda juga dapat weekend yang baik! 🙂

 

Sabri

Bagaimana Untuk Mengawal Perasaan Marah

Weekend ini saya melarikan diri dari hiruk-pikuk KL. Tiba-tiba terasa teringin untuk bertenang di satu tempat yang tenang.

Minggu ini agak tough bagi saya. Sekarang saya sebenarnya cuba untuk mengawal hati saya dari dicemari perasaan-perasaan seperti tidak puas hati, marah, geram dan lain-lain disebabkan perkara-perkara kecil. Dulu saya jarang tempted untuk emo-emo macam ni.

Mungkin ini ujian untuk saya, tetapi saya tetap bertekad untuk memastikan sedaya-upaya hati saya tidak tercemar dengan benda-benda begini. Cara untuk saya control perasaan marah sepanjang minggu ini dari terus ingin meluahkan kemarahan tersebut begini:

  1. Pertama, saya beritahu diri saya biasanya orang yang buat saya marah itu sudah mempunyai cukup masalah. Sebab itu biasanya dia menambah masalah kepada orang lain sebab dia sendiri bermasalah. Dari segi kemanusiaannya, saya maafkanlah dia sebab kesian.
  2. Kedua, saya beritahu diri saya jangan hukum orang yang tidak bersalah dengan melepaskan kemarahan akibat perbuatan orang lain kepada orang yang lain.
  3. Ketiga, saya cuba cari root-cause kenapa saya geram dan marah itu. Saya tidak tahu bagaimana anda ketika marah, tetapi bagi saya, toleran saya tinggi sedikit. Jadi saya tidak cepat marah. Tetapi, bila saya sudah marah, semua benda yang orang tu buat akan jadi salah dan bisa buat saya menyampah. Kemarahan itu akan meletus dengan banyak dan secara tiba-tiba macam machine gun. Semuanya tidak kena. Jadi bila saya sudah isolate punca sebenar kenapa saya marah, saya akan cuba reason out diri saya untuk memaafkan dan let go. Biasanya punca tersebut kecil sahaja.
  4. Saya juga tempted untuk berdendam bila sabar telah hilang. Kadang-kadang saya terasa teringin untuk menembak lipas dengan meriam bila dah marah. Walaupun saya sedar sebenarnya berdendam, dan melayan orang yang membuatkan kita marah sebenarnya sia-sia. Tindakan mereka membuat kita marah menunjukkan mereka tidak sensitif dan mengambil berat sangat terhadap hati dan perasaan kita dengan cara yang kita mahu. Mereka mungkin ambil berat, tetapi dengan cara mereka sendiri yang tidak kena dengan kita. Kalau kita layankan mereka ini, mereka bukannya akan berubah. Mereka akan tetap begitu juga. Silap hari bulan, mereka pula yang akan emo dengan kita.

Pendek kata lebih banyak keburukan dari kebaikan jika kita marah. Kalau anda tengok point-point yang saya tulis ni, jelas marah ni sia-sia dan tidak mengubah apa-apa kan? Selain dari kita dapat melepaskan apa yang terpendam di hati.

Begitulah, tetapi saya tetap manusia. Walaupun dah tau marah tu sia-sia tapi kita tak dapat elak dari rasa marah. Saya cubalah untuk bendung rasa marah ini supaya tidak berpanjangan.

Hopefully weekend retreat di tempat yang hijau dan sejuk ini dapat memulihkan hati saya!

Doakan saya! 🙂

Sabri
Yang Sedang Menahan Marah

p/s: Dalam marah-marah ini, penting untuk kita appreciate benda-benda atau perkara atau orang yang membuatkan kita senyum dan meredakan kemarahan. Ya Allah, temukanlah aku cepat-cepat dengan orang ini hari-hari.

 

Bercakap Tanpa Berfikir

Tiada manusia yang sempurna di dunia ini.

Lebih-lebih lagi jika kita dikelilingi oleh manusia yang banyak kelemahan. Lagi banyaklah kelemahan kita yang terserlah dan lebih banyak lah kelemahan kita yang semakin membarah.

Tarik brekkk!!!

Mulut saya ini memang ringan dan adakalanya pedas. Jika berdepan dengan orang yang tidak berapa dikenali, mulut berat bagai terkunci. Tetapi kalau dengan rakan sendiri, mulut bercakap beberapa jam kemudian baru otak menapis.

Kesiannya kawan-kawan ku.

Pepatah Melayu, kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.

Azam saya, perlu kurangkan bercakap benda-benda lagha. Kurangkan mengeluarkan perkataan dan ayat-ayat negatif dari mulut.

Ayat negatif akan menghalau orang yang positif dari hidup kita dan menarik orang-orang negatif ke dalam hidup kita. Saya bahagia bersama rakan-rakan positif dua-tiga tahun ini, dan saya perlu lebih berhati-hati dengan mulut terutamanya di tempat kerja sekarang.

Ya Allah, buanglah sifat-sifat mazmumah dari diriku ini…

 

Sabri

Begin With the End in Mind

Saya minta maaf kerana lama tidak menulis, seminggu tersasar dari tarikh jangkaan saya. Minggu ini sebenarnya saya masih dalam mode menyesuaikan diri. Saya membuat sedikit perubahan kepada waktu tidur saya, jika sebelum ini saya tidur kira-kira 7-8 jam sehari, sekarang saya cuba menjadikannya cuma 6 jam. Nampak macam tidak signifikan, tetapi sebab masa bangun saya lebih awal dari biasa, jadi side-effect pening-pening tu terasa. Bila badan saya tidak berada dalam tahap kesihatan optimum, memang susah nak mencari feel untuk menulis.

Weekend ini masa saya mengganti balik hutang tidur. Jadi rasa better sedikit. Hopefully next week badan saya akan dapat menyesuaikan diri dengan jadual baru dan semuanya akan kembali normal.

Begin With the End in Mind

Ini adalah satu pesanan popular yang sering diulas sebagai salah satu rahsia kejayaan dalam kehidupan. Stephen Covey dalam bukunya menulis ia sebagai salah satu dari 7 Tabiat Orang Yang Berjaya. Betul, sebagai contoh jika kita hendak ke sesuatu tempat, kita perlu tahu di mana destinasi akhir kita supaya jika kita mahu ke Perlis, kita tidak berakhir di Johor! 🙂

Kena ada cita-cita, atau target dalam bahasa ringkasnya.

Sebenarnya, pedoman ini sangat universal dan saya yakin dengan kebenarannya untuk diapplikasikan dalam hidup dan bukan sebagai teori semata-mata. Kenapa?

Sebab secara tak langsung ia turut dituntut dalam Islam. Ia adalah salah satu dari rukun Iman. Salah satu dari keperluan jika kita mahu menjadi orang yang beriman. Tidak lain dan tidak bukan, beriman kepada Hari Akhirat.

Hari Akhirat adalah pengakhiran kita, dan semua tindak tanduk dan tugasan kita pada hari ini, adalah sebenarnya supaya kita mendapat manfaat yang paling besar di sana kelak.

Saya sebenarnya tidak bercadang untuk menulis mengenai topik Beriman kepada Hari Akhirat ini lagi, sebab telah menyentuh mengenainya dalam post berkenaan wasiat yang lepas, tetapi sebentar tadi bila saya berfikir sejenak mengenai diri, saya ternampak perkaitan di antara rukun iman ini dan teori motivasi Barat tersebut.

Bila Kita Berbuat Sesuatu, atau Bila Kita Tidak Pasti Apa Tindakan Terbaik Yang Perlu Diambil

Buat sesuatu dengan “end in mind”. Tapi jangan simplistic.

Maksud saya, jika kita mahu membina sebuah bangunan, kita perlu ada gambaran hasil akhir bagaimana rupa bentuk bangunan tersebut. Berapa tingkat? Bagaimana orang keluar masuk? Dan bagaimana keadaan sekelilingnya?

Dan pada masa yang sama, kita perlu fikir juga bagaimana bangunan itu akan membantu kita di akhirat sana kelak?

Hidup seorang mukmin adalah ibadah. Apa juga yang kita lakukan sebenarnya boleh mendapat ganjaran pahala jika kita buat dengan baik dan cemerlang kerana Allah (bukan dari sebutan mulut sahaja, tetapi perlu betul-betul terasa di hati).

Jika kita berjaya berbuat demikian, pasti kita akan berjaya.

Dalam mengaplikasikan “Begin With the End in Mind“, saya telah beberapa kali mengaplikasikannya dengan berjaya dalam hidup. Bahkan dalam kegagalan pun saya berjaya bangkit kembali dengan cepat bila saya set semula “journey” saya supaya selari dengan destinasi asal “end”.

Contoh, ketika kami membuka gerai di Miri buat pertama kalinya tetapi kontena mengandungi barang jualan masih belum dilepaskan kastam. Jika gerai tidak dibuka kami akan dikenakan penalti oleh pengurusan pasaraya (disamping sewa dan gaji perkara yang masih perlu dibayar, tidak termasuk kerugian tidak dapat menjual), saya stuck. Ada perasaan untuk give up sahaja untuk hari tersebut dan mulakan keesokan harinya sahaja.

Tetapi bila saya ingat balik yang tujuan asal kami adalah untuk berniaga, menjual bermula pada hari tersebut, saya rasa amat tidak berguna jika saya mengalah awal sedangkan hari tersebut belum pun tengah hari. Saya cakap kepada partner saya, biar pun sampai pukul 6-7 petang kita dengan gudang kastam, barang tu perlu keluar hari ini juga. Saya minta dia duduk dan buat bising di situ sampai barang kami keluar.

Kepada pekerja saya, saya memberitahu tak kisah barang sampai ataupun tidak, gerai kita mesti ready untuk menjual hari ini dan kita akan menjual hari ini. Saya tidak kisah apa yang akan dijual, tetapi kita mesti bersedia untuk menjual. Saya cakap dia setupkan gerai biarpun atas meja kosong.

Dalam pukul 3, barang jualan kami keluar dilepaskan kastam dan sebab pekerja di gerai telah sedia, kami boleh terus menjual. Dan kami masih berjaya mencatat rekod hari jualan terbaik setakat itu.

Bayangkan jika saya mengalah awal. Atau jika saya mengarahkan semua pekerja membuat bising di gudang kastam tanpa persediaan di lakukan di gerai.

Dalam satu contoh hypothetical yang lain yang mungkin anda boleh relate, kita bekerja untuk mendapat duit supaya hidup kita senang. Betul tak? Namun berguna tak duit tersebut, jika kita dapat banyak duit tetapi kita tidak dapat menggunakannya untuk menyenangkan kita. Sebaliknya kita bertambah sibuk mencari lebih banyak duit lagi.

Apa gunanya kerja-kerja keras dari awal itu jika begitu?

Jadi pastikan apa juga yang kita lakukan, kita mulakan dengan mengetahui pengakhirannya dalam apa juga yang kita lakukan, pelajaran, perhubungan, perniagaan mahupun kareer. Ia akan sangat membantu.

Dan sebagai orang Islam, pastikan kita tidak lupa kepada “pengakhiran” yang sebenarnya itu juga.

Mungkin di Salah Ertikan

Orang yang mempunyai target atau yang melakukan sesuatu dengan “pengakhiran” dalam kepalanya ada kemungkinan di salah anggap. Mungkin orang menganggap mereka skema, ambitious atau mungkin sedikit pelik sebab berbeza dari kebiasaan manusia yang go with the flow.

Tetapi kalau kita tahu kenapa kita buat sesuatu, kita tahu apa target kita dan kita serahkan Allah sebagai pemandu kita, saya percaya kita akan lebih cepat dan sampai dengan tepat ke destinasi dengan lebih mudah sedikit.

Jadi, jangan takut untuk Begin With the End in Mind. Peluang untuk berjaya jauh lebih tinggi! 🙂

Epilog

Apa perbezaan yang paling ketara yang saya rasa sebelum, ketika dan selepas balik Umrah ni?

Balik umrah bukanlah balik Haji. Saya rasa tidak ada perubahan ketara atau mendadak sangat. Cuma, beberapa benda yang saya paling bersyukur adalah perasaan secara peribadi kita merasakan yang Allah berkomunikasi dan sangat dekat dengan kita. Bila doa kita didengariNya dan bila kita diingatkan olehNya. Juga perasaan apa yang dimaksudkan dengan sebenar-benarnya bertawakal kepadaNya.

Saya berharap perasaan sentiasa dipimpin dan dipandu olehNya itu tidak akan hilang. Ia memudahkan saya untuk betul-betul merasakan maksud tawakal kepada Allah itu.

 

Sabri

Ya Allah

Ya Allah,

Sungguh besar permintaan Mu padaku,
Aku khuatir aku tak mampu memikul tanggungjawab yang Kau berikan ini,

Ya Allah Yang Maha Berkuasa, Ya Allah Yang Maha Bijaksana, Ya Allah Yang Maha Mengetahui,

Jika urusan ini baik untukKu sekarang dan pada masa akan datang, permudahkanlah ia. Jika ia mendekatkan aku pada syurga-Mu, takdirkanlah ia untukku.

Namun jika urusan ini buruk akibatnya untukku, dan memburukkan hubunganku dengan Mu, maka janganlah kau biarkan hatiku membuat keputusan. Jauhkanlah ia dari ku.

Dan jadikanlah aku redha dengan ketentuan Mu.

Hanya kepadaMu aku berserah ya Allah. Hanya Kau lah satu-satunya Tuhan yang layak disembah.

(cries)

Ya Allah…

Sabri
Hamba yang Berharap

Powered by WordPress & Theme by Anders Norén